Ahli kumpulan K-Clique, Tuju menegaskan dia bukan seorang kaki pukul atau panas baran seperti yang didakwa segelintir netizen.

Sebelum ini, tersebar video pendek yang memperlihatkan Tuju seolah-olah menyerang seorang individu ketika di sebuah acara.

Ketika dihubungi Gempak, Tuju kesal dengan sikap manusia yang mudah melemparkan fitnah serta bersangka buruk tanpa memeriksa terlebih dahulu.

"Saya tidak pernah labelkan diri saya sebagai seorang selebriti. Saya sentiasa merendahkan diri sebagai seorang penghibur.

"Kepada orang yang cakap saya kaki pukul, saya gigit tangan budak, panas baran, saya pun tak tahu di mana bukti yang menunjukkan saya berbuat sedemikian.

"Hanya video berdurasi tiga saat boleh menunjukkan saya gangster, saya tidak tahu la. Saya hairan di mana akal mereka berfikir, sangat cetek pemikiran mereka.

"Saya tak salahkan mereka. Itu pilihan mereka kalau nak teruskan berfitnah. Saya hanya jadi diri saya. Saya tahu apa yang saya buat dalam industri muzik ini," katanya.

Tambah Tuju, fokus utama dia sekarang adalah industri muzik bukan melayan manusia yang berfikiran negatif.

"Saya tengah fokus dengan keluarga, K-Clique, perjalanan karier, album, tour dan buku. Buang masa fokuskan netizen yang suka dengan hal negatif.

"Kalau betul saya kaki pukul, sila tunjuk mana budak yang saya pukul di hadapan saya. Mana bukti saya ini panas baran, saya tidak takut," katanya lagi.

Dalam pada itu, Tuju menjelaskan apa yang terjadi di sebuah acara itu hanya sekadar perbincangan secara baik.

"Hanya perbincangan sahaja di mana K-Clique bertemu secara empat mata dengan satu kumpulan yang sebelum ini pernah melakukan satu perkara yang selama ini kami diam saja.

"Jadi, kami terus tanya apa masalah mereka. Biasalah kita manusia biasa sentiasa lakukan kesalahan. Dia sendiri pun dah minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki.

"Kami ambil keputusan untuk bersalaman dan berdamai. Saya sendiri juga dah memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa atau pernah menyakiti mereka.

"Mereka sendiri pun cakap saya tidak bersalah. Alhamdulillah semuanya baik," katanya mengakhiri perbualan.