Ketika Malaysia melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pastinya hotel, rumah inap desa atau ‘homestay’ sedang menerima tempahan yang cukup hebat.

Peningkatan ini susulan daripada galakan kerajaan supaya orang ramai melancong secara domestik untuk mengukuhkan ekonomi.

Namun, dalam pada banyak hotel yang ditempah, viral pula satu kisah pemilik homestay yang menerima padah akibat kelakuan tidak senonoh pelanggannya.

Luahan itu dibuat menerusi satu posting di laman milik individu tersebut.

Menurut individu berkenaan, dia kecewa apabila ada yang masih tidak menghiraukan adab ketika menginap di homestay mahupun platform airbnb.

“Saya tahu ini adalah risiko jika menjalankan bisnes seperti ini. Namun, budaya ini harus dihentikan.

“Biarpun telah tulis dilarang merokok atau parti, orang sebegini masih degil.

“Awak kelihatan baik di profil WhatsApp, tapi apabila tukang cuci buka je pintu dah macam haiwan liar yang menginap,” katanya.

Menurutnya lagi, tahun 2020 sudah cukup mencabar dan perkara sebegini menambahkan lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kebanyakan pengusaha homestay.

“Kepada anda dan rakan-rakan anda, awak patut malu dengan diri sendiri.

“Hanya haiwan liar je tinggalkan najis atas katil,” katanya.

Menerusi gambar yang dimuat naik di posting berkenaan, hampir keseluruhan ruang rumah dipenuhi dengan sampah sarap serta botol minuman.

Paling menjijikkan, terdapat juga najis yang dibiarkan di atas katil.

Anda boleh lihat sendiri gambar tersebut di bawah.