Anggota kumpulan TTONTHEMOVE, Klouds yang mendakwa diserang ahli kumpulan K-Clique dalam satu acara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur Jumaat lalu akhirnya membuka mulut mengenai insiden sebenar.

Dakwa Klouds, ketika kejadian, dia dikepung dan diserang oleh ahli K-Clique sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian kepala dan tengkuk.

"Saya di sana untuk berniaga, tiba-tiba mereka kepung saya.

"Ketika itu saya dengar Tuju dah minta pisau daripada peniaga berdekatan nak cederakan saya, MK pula cuba nak cekik saya," dakwanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Dakwa Klouds lagi, empat anggota K-Clique yang melakukan physical contact pada hari kejadian terhadapanya ialah Tuju, MK, Noki dan Nasty Nas.

Bagaimanapun, dakwanya, video asal yang dirakam adiknya ketika kejadian juga sudah dipadam selepas telefon bimbitnya dirampas.

Dakwanya lagi, punca persengketaan tersebut disebabkan oleh isu penerbitan sebuah lagu.

"Mereka tak puas hati dengan satu lagu yang kami buat, mereka minta take down, tapi tak diendahkan.

"Mereka sudah berada di atas, kenapa dia kisah pasal kami. Kami tak pernah kacau orang," dakwanya.

Terdahulu, Klouds turut membuat laporan polis berhubung insiden tersebut di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur hari ini.



Katanya, dia membuat laporan polis tersebut sebagai mengambil langkah keselamatan.

"Selepas apa yang berlaku, Mereka cuba putar belitkan cerita sebenar. Kalau boleh saya malas nak panjang-panjangkan.

"Tapi hari ini saya buat laporan polis demi jaminan keselamatan," jelasnya.

Sebelum ini, tular sebuah video pergaduhan di laman Twitter yang mendakwa ahli kumpulan K-Clique, Tuju dikatakan bertindak menyerang seorang individu di sebuah acara.

Bagaimanapun, Tuju kemudian tampil mendakwa apa yang tersebar itu adalah satu fitnah.

BACA: Didakwa Kaki Pukul & Panas Baran, Tuju Minta Bukti Depan Mata

Bagaimanapun, salah seorang ahli kumpulan TTONTHEMOVE, kemudian menyelar tindakan Tuju dan pasangannya Loca B yang didakwa cuba menyembunyikan kebenaran.

BACA: Isu Diserang Anggota K-Clique, Ahli Geng Buka Mulut Cerita Sebenar! - "Nak Nampak Tangan Bersih?"