Pelakon Nabila Huda, 36, menjelaskan rakaman video menangis ketakutan di rumah yang dimuat naik di Instastories Instagram (IG) pada awal Ogos lalu adalah untuk teaser program baharu, ‘The Masked Singer Malaysia’.

BACA: Rumah Diceroboh Pencuri, Nabila Huda Nangis Teresak-Esak - "Saya Takut Gila ..."

BACA: "Bukan Pencuri Tapi Manusia Pakai Masks"- Nabila Huda Tampil Beri Penjelasan

Menurut Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil, dia menyatakan tugasan yang diberikan oleh pihak produksi tidak berat tetapi menjadi keterlaluan selepas dia menjiwai karakter.

"Sebenarnya itu lakonan semata-mata.. Ianya merupakan sebahagian teaser untuk promo program Masked Singer.

"Video itu bukanlah gimik sangat pun, hanya tugasan biasa.. Konon-kononnya saya nampak kelibat mask misteri di rumah.

"Memandangkan saya ni pelakon yang memberi 100 peratus komitmen, itu fasal nampak macam over pula.

"Saya pula memang dah lama tak berlakon cerita suspen, lagilah saya buat bersungguh bila pihak produksi suruh buat," katanya kepada Gempak.

Abil ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu Astro Warna, ‘The Masked Singer Malaysia’ di De.Wan, The Linc, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, anak kepada penyanyi Amy Search ini akui berasa bersalah kerana tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada ahli keluarga dan rakan terdekat.

"Selepas muat naik video itu, saya dihubungi oleh pengurus, keluarga,anak dan kawan-kawan! Mereka semua tanya keadaan dan risau dengan apa yang berlaku.

"Saya rasa bersalah pula apabila tak maklumkan mengenai perancangan video teaser itu. Suami saya saja yang tahu sebab dia ada di rumah masa tu.

"Minta maaf semua. Saya kan seorang pelakon yang suka memberi. Fizz Fairuz dengan Nabil antara yang ingat video itu betul," katanya lagi.

Abil bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak diberi penghormatan untuk menduduki kerusi juri tetap dalam ‘The Masked Singer Malaysia’.

Manakala, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda?

Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam!

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

BACA: Bawa 'Hallyu Wave', Astro Warna Saji 'The Masked Singer Malaysia’ Untuk Penonton