Bintang Big Stage 2020 Sandra Dianne telah menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi setelah lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan.

Pemergian itu dilaporkan menerusi laman sosial Instagram rakan seperjuangannya, Usop yang memaklumkan tentang berita duka itu.

“Assalamualaikum semua, tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk sahabat seperjuangan saya. Kini telah pulang ke rahmatullah. Sandra rehat k, Al-Fatihah,” tulis Usop.

Pada Sabtu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ketika menuju ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) bagi tujuan rehersal.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang berada di depannya berhenti secara mengejut.

Sandra mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak Sabtu.

Gempak mengucapkan salam takziah pada seluruh ahli keluarga Sandra dan semoga rohnya sentiasa berada di bawah lindungan Allah, Al-Fatihah.