Hidayah itu milik Allah SWT! Itulah yang berlaku terhadap seorang bekas samseng berbangsa Cina yang telah memasuki agama Islam.

Pendedahan itu dibuat di sebuah rancangan popular baru-baru ini.

Menurut Che Yin Wei atau nama Islamnya Abdul Rahman Abdullah, dia mula mengenali Islam selepas banyak bergaul dengan rakan-rakan penjara yang kebanyakannya Melayu Islam.

Menurutnya, dari luar mungkin dia kelihatan sama seperti individu lain, namun disebalik wajah tenang itu terdapat seribu kisah tersembunyi.

“Saya pernah menyertai aktiviti kongsi gelap seawal umur 18 tahun. Dulu saya seorang gangster, hidup yang bergelumang dengan dosa.

“Namun pada 2013, saya memilih jalan lain yang membawa pulang. Saya telah mengambil keputusan untuk berubah dan meninggalkan segala aktiviti jahat yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Difahamkan Abdul Rahman mengucapkan dua kalimah syahadah 7 Ogos tahun lalu di hadapan imam dan ahli jawatankuasa Masjid Jalan Pegawai, di Alor Setar, Kedah.

Menerusi beberapa komen di media sosial, rata-ratanya kagum apabila Abdul Rahman berani untuk berkongsi kisah berkenaan.

Kebanyakannya mendoakan Abdul Rahman supaya terus istiqamah.