Pelawak Ali Puteh mengucapkan rasa syukur selepas isterinya selambat melahirkan anak ketiga mereka awal pagi tadi.

Bayi lelaki seberat 3.07 kilogram itu dilahirkan pada jam 4.42 pagi tadi (Jumaat) di sebuah hospital bersalin swasta di Ampang.

Ali ketika berkongsi berita tersebut kepada Gempak memberitahu, bayi lelaki dan ibu berada dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah, Melati selamat lahirkan bayi ketiga kami. Bayi dilahirkan secara normal dan berada dalam keadaan sihat bersama ibunya.

“Saya bersyukur urusan dipermudahkan dan terima kasih kepada yang sentiasa mendoakan Melati dan anak,” katanya.

Tambah Ali lagi dia dan isteri sudah memiliki nama buat putera mereka itu dan memilih untuk menamakannya sebagai Syed Umar Iskandar.

"Memang dari awal saya nak nama arwah Abam ada. Jadi saya ambil Umar itu. Ingatan kami terhadap arwah tidak pernah pudar.

"Sebaik sahaja Umar Iskandar dilahirkan, saya sebak...Emak juga tidak berhenti menangis sejak saya kongsikan berita kelahiran Umar.

"Pastinya arwah orang yang paling sibuk saat ini kalau dia ada...Sebab sebelum ini pun memang begitu, teringat pula keletah teruja arwah saat ini," katanya sebak.

Ali memberitahu dia membawa isteri ke hospital petang semalam selepas Melati mengadu sakit, namun pulang semula ke rumah kerana bukaan rahim baru 2cm.

Bagaimanapun kira-kira jam 8.30 malam Ali kembali ke hospital kerana isterinya mengadu rasa sakit datang dengan lebih kerap.

Pelawak yang juga adik kepada Allahyarham Abam itu kemudiannya menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp kepada gempak pada jam 4.48 pagi, berkongsi tentang bayi lelakinya itu.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan Melati Fitri Abdullah berkahwin pada Mei 2016.

Hasil daripada perkahwinan tersebut Ali dan Melati dikurniakan dua anak perempuan Sharifah Nur Aaira Qaireen, 3 tahun dan Sharifah Nur Ainul Mardhiah yang meninggal dunia selepas tiga bulan dilahirkan akibat komplikasi jantung.