Pergolakan rumah tangga pelakon Nadia Brian dan Muizz Nasruddin terus menjadi perhatian apabila timbul khabar angin mendakwa kehadiran orang ketiga yang dipercayai aktor Aidit Noh.

Muizz, 29, berkata dia enggan mengulas lebih lanjut berhubung dakwaan tersebut.

Sebaliknya dia percaya segala kebenaran pasti akan terbukti satu hari nanti.

“Benda ini simple saja... kebenaran dan keadilan pasti akan terbukti satu hari nanti. Insya-Allah... Allah akan memudahkan segalanya. Saya tak nak komen lebih.

“Cuma satu hari nanti, kebenaran akan keluar sendiri. Ini simple, netizen nak cakap apa-apa itu hak mereka.

“Saya tahu apa yang terjadi. Kita tunggu dan lihat,” kata Muizz kepada Gempak ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk terbaharu pelakon Farah Nabilah di Catson Global Sdn Bhd di Skypark @ One City, Subang pada Rabu.

Sebelum ini, Aidit menerusi sebuah laporan menafikan dakwaan dia menganggu rumah tangga pasangan tersebut sebaliknya hubungan dengan Nadia atas urusan kerja semata-mata.

Dalam pada itu, Muizz yang juga seorang ahli perniagaan mengakui masih bergelar suami kepada Nadia. Kontroversi rumah tangga mereka itu juga tidak menjejaskan dirinya.

“Status kami masih sah, (suami isteri), jadi buat apa saya nak padam gambar kami. Saya rasa orang boleh nilai sendiri. Saya tak berasa tertekan pun dengan apa yang terjadi sebab Allah ada.

“Macam saya cakap sebelum ini, saya berterima kasih kepada keluarga dan rakan terdekat yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya teruskan kehidupan. Itu saja yang boleh dikongsi buat masa sekarang,” ujarnya lagi.

Kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian apabila mereka tidak lagi berkongsi gambar bersama di laman sosial sejak Ogos lalu.

Nadia bagaimanapun menafikan dakwaan hubungan mereka sedang dilanda masalah.

Baru-baru ini juga Muizz ada memuat naik gambar dan kapsyen berbaur kekecewaan sehingga mengundang pertanyaan dalam kalangan netizen.

Imbas kembali, Muizz dan Nadia nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi berkahwin pada 9 November tahun lalu di Magica Hall, Shah Alam selepas dua tahun berkenalan.