Penyanyi Haqiem Rusli tetap akan memberi sokongan kepada adiknya, Zali Rusli dalam industri muzik tanah air walaupun terpaksa bersaing suatu hari nanti.

Sebagai tanda sokongan dan semangat buat Zali, Haqiem telah mencipta single terbaru berjudul Pewangi buat adiknya itu.

“Adik saya baru berusia 15 tahun dan masih muda lagi. Saya akan sentiasa berada di belakang Zali dan membantu dia menempuhi liku-liku dalam industri.

“Saya memang beri galakan kepada adik saya sekiranya dia betul-betul mahu menjadi penghibur. Apa salahnya? Menghiburkan, buat orang gembira itu benda positif.

“Tapi saya harap dalam usia yang masih muda ini dia dapat mengambil kesempatan untuk belajar selok belok industri terutama tentang muzik.

“Manalah tahu selepas ini boleh sambung belajar dalam bidang ini dan dapat meneroka dengan lebih jauh,” katanya kepada Gempak.

Sementara itu, Zali berkata dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berkongsi pentas bersama abangnya.

“Saya memang minat menyanyi dan selalu ikut Haqiem pergi show. Dia tak larang saya bergelar penyanyi dan suruh ingat pesan ibu dan ayah supaya tidak mengabaikan pelajaran.

“Memang selepas dilamar FMC Music, ibu dan ayah kenakan syarat supaya seimbangkan aktiviti nyanyian dan persekolahan,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

Mengulas mengenai karier terbarunya itu, Zali memberitahu sudah bersedia untuk menempuhi dugaan sebagai anak seni, terutama apabila dibandingkan dengan abangnya kelak.

“Memang single terbaru saya ini ciptaan abang saya sendiri dan harapan saya untuk Pewangi memang tinggi.

“Cuma satu harapan saya, agar pendengar tidak membandingkan saya dengan Haqiem. Memang abang saya sendiri yang buat lagu tapi cara nyanyian kami tak sama,” katanya.

Pewangi, hasil ciptaan Haqiem Rusli dan Ibnu dilancarkan jam 12 malam tadi di semua platform digital iaitu Joox, spotify, deezer dan lain lain.

Manakala muzik video pula akan dilancarkan bermula jam 8 malam ini di saluran Youtube FMC Music.