Demam dan batuk merupakan gejala biasa dan kerap dihidapi oleh penduduk di dunia.

Namun sekiranya anda kerap mengalami dua gejala itu mungkin persekitaran anda yang kurang bersih adalah puncanya.

Menurut perkongsian akaun Facebook rasmi Public Health Malaysia, siling di dinding pejabat atau rumah yang memiliki tompok-tompok hitam berdebu adalah kemungkinannya.

“Itu adalah KULAT. Kulat di dinding dan siling biasanya berlaku akibat persekitaran yang lembab akibat kebocoran bangunan atau sistem pengudaraan yang tidak lancar.

“Bukan sekadar kulat, sebenarnya ia mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan.

“Spora halus yang di bebaskan oleh kulat ini boleh disedut masuk ke paru paru dan menyebabkan iritasi dan radang kepada saluran pernafasan.

“Ia boleh mengakibatkan hidung berair dan tersumbat, bersin, batuk, sesak nafas dan nafas berbunyi.

“Sekiranya tidak dibersihkan, pendedahan secara berterusan boleh mengakibatkan fungsi paru paru terjejas dan mengakibatkan masalah kronik seperti astma.

“Bagi yang sememangnya menghidap astma atau lelah, mereka akan mengalami gejala yang lebih kerap dan serius.

“Tanda-tanda lain bagi kehadiran kulat termasuklah bau yang kepam, kesan air, kesan meruap dan cat dinding mengelupas,” kongsi posting berkenaan.

Lihatlah di siling dan dinding pejabat atau rumah anda. Ada nampak tompok-tompok hitam berdebu yang berkumpul? Ya, itu...

Posted by Public Health Malaysia on Saturday, 3 October 2020

Dalam pada ada itu, Public Health Malaysia juga turut berkongsi langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencegah kulat berkenaan.

Berikut merupakan langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan.

1.Pastikan pengudaraan yang sesuai di dalam bangunan terutamanya bahagian yang lembab dan gelap seperti tandas, bilik membasuh dan dapur.

2.Pastikan sistem saliran air di bumbung lancar dan tidak melimpah.

3.Bersihkan kulat tersebut menggunakan sabun dan air. Jika kulat masih tumbuh, boleh gunakan peluntur.

4.Apa yang penting, cari punca yang menyebabkan pertumbuhan kulat tersebut dan perbaiki punca tersebut.

5.Jika bahan berfabrik ditumbuhi kulat dan sukar untuk dibersihkan, anda mungkin tiada pilihan lain selain membuang bahan tersebut.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat buat pembaca Gempak.