Cerita mengenai pergolakan rumah tangga pelakon Nadia Brian dan suaminya, Muizz Nasruddin mula diperkatakan netizen apabila pasangan ini tidak lagi berkongsi gambar bersama di media sosial sejak Ogos lalu.

Terkini, memetik laporan BH Online pada Rabu, Muizz mengatakan dia mahu sedaya upaya menyelamatkan rumah tangganya meskipun sudah hampir tiga bulan tidak tinggal sebumbung dengan isterinya itu.

"Kami masih lagi pasangan suami isteri, cuma kami tidak tinggal sebumbung selama hampir tiga bulan.

"Saya tak pernah menghalau dia keluar dari rumah, malah, saya telah mengajaknya berkali-kali untuk kembali tinggal bersama saya, namun dia menolak dan tinggal di rumah ibunya.

"Saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangga, namun Nadia tidak memberi kerjasama," katanya.

Dalam pada itu, Muizz turut mendakwa isterinya itu berlaku curang terhadapnya dan ia melibatkan dua orang lelaki.

"Nadia bukan berlaku curang dengan seorang, tetapi dua orang lelaki, saya ada bukti yang cukup dan saya berada di posisi yang benar," katanya lagi.

Imbas kembali, Muizz dan Nadia mendirikan rumah tangga pada 9 November tahun lalu di Magica Hall, Shah Alam selepas dua tahun berkenalan.

Sumber : BH Online