Naskhah baharu daripada sutradara Sabri Yunos, Butak mula berada di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 hari ini.

Di filem ini, sekali lagi sang sutradara yang cukup berprolifik tinggi ini menuangkan sisi terbaiknya; memberi visual sebuah penceritaan yang sarat maksud tetapi dibalut dengan cukup bersahaja.

Dibandingkan dengan beberapa naskhah lainnya sebelum ini termasuk fenomenanya Pak Ya Cong Codei, adakah Butak mampu membawa penonton masuk ke dimensi Sabri Yunos dan terus menyukai filem yang satu ini.

Gempak sempat menonton Butak selepas ditayangkan semalam dan ini antara ulasannya.

#1 Jalan Cerita Mudah, Ringkas Tetapi Membawa Kita Untuk Berfikir

Secara ringkasnya filem ini mengisarkan tentang seorang remaja lelaki yang juga anak yatim piatu bernama Butak yang nakal dan sering membawa masalah.

Disebabkan itu juga dia menjadi kebencian hampir seluruh penduduk kampung.

Tertekan dengan desakan penduduk kampung serta ibu bapa angkatnya, Butak membuat keputusan untuk melarikan diri.

Pada masa sama, Butak juga nekad untuk ke Pelabuhan Pulau Pinang untuk mengikut jemaah haji ke Mekah kerana ibunya meninggal dunia ketika melakukan ibadah tersebut.

Mudah bukan? Namun bagi penulis, biarpun plot cerita ini disusun dengan ringkas, terdapat banyak perkara yang akan membuatkan penonton terfikir.

Barangkali ada yang menganggap permulaan cerita ini agak lambat, namun semua itu mungkin memberi laluan perkembangan karakter Butak yang semakin lama, semakin membuat orang geram dan benci.

Anda kena tonton sendiri untuk rasa seperti mana penulis rasa. Geram, benci, menyampah semua cukup!

#2 Berlatar belakang Tahun 1968 Di Batu Kurau

Jika melihat color grading atau tone filem ini, ia seakan-akan membawa anda ke zaman dulu-dulu. Jangan pelik kerana filem ini berlatarkan tahun sekitar 60-an.

Sudah pastinya ia memerlukan props atau set yang menampakkan era tersebut dan penulis agak kagum dengan usaha Sabri Yunos untuk meyakinkkan penonton yang Butak berada dalam lingkungan tahun tersebut.

Dari segi tata rias pelakon, gaya rambut, penggunaan pengangkutan sehinggalah set pasar pagi, semuanya disusun kemas.

Apa yang bestnya filem sebegini, penonton boleh lihat bagaimana cara dan adat orang dulu-dulu makan, bekerja, bercakap dan paling penting bagaimana nenek moyang kita bersiap-siap mengerjakan haji.

Dulu kapal terbang bukan pengangkutan utama sebaliknya jemaah hanya menggunakan kapal laut.

Bagaimana mereka berkumpul di Pulau Pinang sementara menantikan ketibaan kapal semunya dipaparkan di filem ini.

Selain itu, loghat Batu Kurau yang menjadi dialek rasmi filem ini juga sangat unik.

Penulis yakin ramai yang tidak tahu penduduk Batu Kurau mempunyai loghat dan dialek mereka sendiri.

Bila didengar ianya bagai dipengaruhi loghat Utara dan Kelantan yang menggunakan dialek Patani.

#3 Lakonan Kelas Tersendiri

Penulis percaya Sabri Yunos tidak memilih barisan pelakon untuk bergabung di nakshahnya jika beliau tidak mempercayai kredibiliti mereka sebagai pelakon.

Tolak ketepi soal komersial atau tidak, namun nyawa filem ini berjaya dihidupkan dengan barisan pelakon yang cukup cemerlang membawa watak masing-masing.

Daripada barisan pelakon utama hinggalah pelakon ekstra, tiada satu pun yang kaku. Sesekali mata penulis memerhati juga kuncu-kuncu samseng dalam filem ini jika ada yang ‘kayu’, namun tiada nampak gayanya.

Pelakon utamanya juga bukanlah baharu dan jika anda pernah menonton drama sebelum ini, anda pasti kenal wajah remaja ini. Memang berbakat!

Malah Izuan Fitri merupakan pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2016.

Selain itu, lakonan Kazar sebagai Tok Penghulu juga sangat meyakinkan.

Antara karakter kegemaran penulis kerana ia sangat menggambarkan gaya orang dulu-dulu.

Pandai Kazar bermain mimik dan ekspresi muka, ye lah otai kan!

Sabri Yunos juga hebat biarpun babaknya tidak banyak tetapi cukup memberikan kesan kepada fiilem ini.

Senarai pelakon dalam filem ini agak ramai, tapi apa yang pasti semua membawa peranan penduduk kampung dengan baik. Love!


#4 Penuh Dengan Mesej Tersirat

Daripada awal sehingga habis, filem ini tidak henti-henti membawa pesanan dan mesej berkaitan kehidupan dan agama.

Itu yang penulis boleh ‘tangkap’, mungkin banyak lagi maksud tersirat dalam filem ini yang tak sempat diterjemah.

Antara yang penulis boleh lihat adalah senakal-nakal Butak, dia tidak meninggalkan solatnya.

Malah, ada ketikanya penduduk kampung menganggap kehadiran remaja nakal seperti Butak mungkin satu hikmah buat mereka.

Selain itu, orang gila pula jangan sesekali disangka tiada ilmu atau pegangan agama. Silap hari bulan, merekalah yang membantu kita jika susah kelak.

Skripnya juga mendalam dan antara yang membuatkan penulis tersentak adalah perbualan antara dua remaja perempuan iaitu “Mu Kalau Orang Panggil Hajah Mu Tak Malu Ke”, cukup mengingatkan penulis terhadap sesetengah perangai manusia yang malu dengan agama sendiri.

Namun, paling penulis suka adalah bagaimana pengarah mendidik penonton soal ibadah haji dan agama. Lain macam sungguh filem ni!

#5 Sinematografi Cantik!

Ada yang kata filem ini seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan selepas menonton Butak, mungkin ada sedikit gaya-gayanya di situ.

Namun, apa yang membuatkan penulis tidak sangka adalah gaya sinematografi yang cukup indah.

Ada beberapa babak yang menggunakan drone sangat cantik penghasilannya.

Paling ketara ada ‘shot’ dari atas kebun pisang dan beberapa babak yang berlatar belakangkan gunung ganang. Cantik sangat, mesti ramai yang akan ke Batu Kurau selepas ini.

Tolak tepi soal kesan imej janaan komputer (CGI) kerana filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pun tidaklah begitu meyakinkan.

Namun, pujian masih boleh diberi kepada pengarah kerana berusaha menghasilkan beberapa babak yang memerlukan sedikt senntuhan CGI. Tiada masalah bagi penulis.

Berbaloi Atau Tidak?

Filem Butak tidak berat, skripnya juga ringan dan mudah ‘dihadam’.

Biarpun tunjang utamanya belum lagi layak dilabel pelakon kelas A, namun kebanyakan yang membintangi Butak adalah pelakon otai. Jadi anda boleh agak bagaimana kualiti lakonan dalam filem ini.

Selain itu, jika anda suka elemen sejarah atau mahu melihat bagaimana nenek moyang kita kumpul duit bertahun-tahun untuk mengerjakan haji, maka silalah menonton Butak.

Filem ini cukup sifatnya, namun jika ditanya soal kekurangan, Butak mungkin boleh menjadi lebih dramatik.

Elemen sedih yang membuatkan penonton menangis itu tiada.

Rating Gempak 3.5/5

Jangan lupa untuk menonton filem Butak di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem arahan Sabri Yunus ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.