Sungguhpun berasa ralat kerana wang yang ditipu tidak dikembalikan, pelakon dan penerbit Rozita Che Wan bersyukur apabila pasangan suami isteri yang didakwa memperdaya orang ramai dengan menawarkan pakej penginapan hotel ditahan baru-baru ini.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, penahanan pasangan tersebut dianggap sebagai balasan atas perbuatan jahat mereka.

"Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga! Ini adalah pengalaman pertama saya kena tipu macam ni.

"Walaupun saya ralat sebab duit tak dapat balik, tapi sekurang-kurangnya mereka dah terima habuan atas perbuatan jijik mereka itu.

“Bukan saya sahaja yang lega, ramai mangsa penipuan mereka yang lain pun lega bila dengan berita mereka ditangkap,” katanya.

Bagaimanapun kata Che Ta, dia tetap meneruskan percutian seperti yang sudah dirancang bersama keluarga dan beberapa rakan lain.

"Percutian itu pada 26 September lalu. Disebabkan sudah rancang awal, jadi saya, suami dan rakan lain pergi juga. Cuma, kami tempah hotel lain," katanya.

Terdahulu, media melaporkan suspek pasangan suami isteri didakwa mengambil kesempatan menawarkan promosi pakej penginapan bilik hotel mewah kononnya bagi menghargai petugas barisan hadapan Covid-19.

[[BACA: Pasangan Suami Isteri Dicekup Tipu Pakej Pelancongan, Bekas PA Aliff Syukri Ditahan?]]

Sumber: Harian Metro