Pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) akan diteruskan seperti yang dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton.

Keputusan tersebut diambil bagi mematuhi garis panduan dan syarat SOP pihak berkuasa sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, penganjuran dua buah konsert mingguan kebetulan jatuh ketika tempoh fasa PKPB sedang berlangsung.

"Konsert minggu kedua pada 18 Oktober dan minggu ketiga pada 25 Oktober ini akan tetap bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) seperti biasa.

“GV7 akan tetap berlangsung namun begitu, hanya krew produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja akan dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa.

“Sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak Covid-19 serta kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada.

“Pihak Astro juga ingin menyeru kepada orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana tangggungjawab, disiplin serta pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. Sama-samalah kita jaga kita,” katanya kepada Gempak.

Teruskan menyokong program-program terbitan Astro sepanjang tempoh PKPB berlangsung. Semoga perasaan gusar dan bimbang mengenai keadaan semasa yang membimbangkan ini akan sedikit terubat dengan kemeriahan konsert 'GV7' walaupun bersiaran dalam norma baharu.

Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada semua terutamanya pihak media yang terus memberikan sokongan tanpa henti kepada kami selama ini.

Tanpa anda semua, fenomena 'GV' tidak akan berada di tahap sekarang.

GV 7 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang dan siaran ulangan pada jam 11.30 malam.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.