Jika sebelum ini negara digemparkan dengan penahanan beberapa individu sindiket pengubahan wang haram, namun sejak kelmarin lain pula kisahnya apabila suspek utama yang begelar Datuk Seri dikatakan berjaya meloloskan diri.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila suspek utama itu dikatakan berjaya melarikan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebelum memasuki kenderaan yang menunggunya di luar pagar, Isnin lalu.

Ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek yang juga dalang utama kes penipuan Macau Scam dan dua pegawai polis dalam proses diserah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Polis yang ketika itu berada di hadapan bangunan SPRM hanya sempat menahan seorang lagi suspek yang juga dalang utama sindiket itu bersama dua anggota polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

Kisah ini terus menjadi topik ‘hangat’ dan perbualan utama jentera ‘bawang’ di hampir kesemua platform media sosial.

Ada yang meragui kejadian tersebut dan ada juga yang pelik bagaimana suspek boleh lari dan panjat pagar dengan mudah.

Malah, tidak kurang juga yang menjadikan isu tersebut sebagai hiburan dengan meninggalkan komen melucukan.

“Hebat orang Malaysia. Aku boleh bayangkan dia lompat pagar macam Mission Impossible,” kata seorang netizen.

“Mana pasukan Gerak Khas? Selalunya Datuk Yusof Haslam arahkan diorang bertugas,” kata seorang lagi netizen.

“Selama 41 tahun hidup baru pertama kali dengar suspek lari dari SPRM,” kata pengguna Facebook dikenali sebagai Aaron.


Selain itu, berdasarkan pemerhatian Gempak, bukan hanya netizen yang berpandangan sedemikian, malah penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman turut memuat naik gambar berkaitan kes berkenaan di satu entri Instagramnya, semalam.

“Segendut mana pun orang tu, jika cukup duit, tembok China pun dia panjat dan menghilangkan diri,” katanya sebagai kapsyen.

taki taki rumba. segendut mana pun seseorang itu, jika cukup duit, tembok cina pun dia boleh panjat & menghilangkan diri bagai david copperfield.

A post shared by Yasin Sulaiman | Malaysia (@yasinsulaiman) on

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan juga turut menyuarakan padangan sama.

"Bagaimana suspek boleh memanjat pagar dan mampu mengatur rancangan meloloskan diri selepas dibebaskan SPRM untuk proses reman PDRM?

"Ketika jangka masa penyerahan suspek kepada PDRM, kenapa tidak ada pengiring dan SOP yang dipatuhi? Ini mengundang keraguan.

"Kita berdepan kes penipuan ratusan juta ringgit duit rakyat Malaysia dengan pembabitan pegawai tinggi pihak berkuasa. Saya harap ada penjelasan berhubung isu ini," katanya kepada Harian Metro.

Jelasnya, kejadian aneh itu dibimbangi boleh menyebabkan kredibiliti PDRM dan SPRM dipertikai masyarakat.

Apapun marilah kita berdoa supaya suspek berjaya ditahan semula.

Sumber : Harian Metro, Twitter, Instagram Yasin Sulaiman
Gambar: Harian Metro