Ketiadaan bintang Gegar Vaganza (GV)7, Yantzen dalam konsert minggu ketiga secara tiba-tiba malam tadi, mencetus tanda tanya ramai pihak terutama peminat penyanyi rock popular itu.

Tambahan lagi Yantzen masih di dalam pertandingan dan ramai yang tertanya-tanya tentang nasibnya pada minggu-minggu seterusnya dalam GV7.

Menjawab persoalan tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, Yantzen dinasihatkan berehat oleh pihak produksi selepas mengadu tidak sihat.

“Tentang Yantzen, di pertengahan konsert beliau tiba-tiba mengadu pening kepala dan letih. Pasukan medic dengan segera membawanya keluar dari dewan Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC).

“Disebabkan faktor usia Yantzen yang sudah lebih 60 tahun, kami mengambil keputusan untuk beliau tidak meneruskan persembahan pada malam ini.

“Kami harap peminat-peminat GV7 dan Yantzen doakan agar beliau cepat sembuh dan dapat beraksi pada minggu hadapan,” katanya.

Ditanya mengenai tiada bintang yang disingkirkan pada minggu ini, Emarina berkata dari awal lagi produksi sudah merancang tiada penyingkiran akan berlaku.

“Sebenarnya kalau ikut perancangan kita memang tiada penyingkiran pada minggu ini. Selalunya pada minggu tugasan 360, memang kita tak buat penyingkiran.

“Secara kebetulan, Yantzen pula tidak sihat. Tidak ada sebarang isu di sini,” katanya kepada Gempak.

Yantzen yang sepatutnya mempersembahkan lagu Malam Ini Kita Punya nyanyian Bunkface tidak dapat meneruskan cabaran kerana faktor kesihatan.

Difahamkan giliran Yantzen pada malam ini adalah sebelum persembahan Noraniza Idris.

Sama-sama kita doakan Yantzen cepat sembuh.

GV7 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.