Sebanyak 835 kes baharu COVID-19 dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pandemik itu di Malaysia kini sebanyak 28,640.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak lima kes import manakala selebihnya merupakan penularan dalam tempatan.

Negeri Sabah, kata beliau, menyaksikan perkembangan positif apabila terdapat penurunan kes sebanyak 517 kes (55.8 peratus).

“Walaupun terdapat penurunan jumlah kes pada hari ini, KKM masih terus giat menjalankan aktiviti saringan dan pengesanan kes secara aktif di seluruh negeri Sabah.

“Ini kerana, masih terdapat sebanyak 44 kluster yang aktif di Sabah dan peningkatan kes harian tempatan masih boleh berlaku,” kata beliau dalam sidang media pada Selasa.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, negeri-negeri di Lembah Klang terus catat pertambahan sebanyak 138 kes baharu (16.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes).

Selangor mencatat 367 kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merekodkan lima jangkitan baharu.

Maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan juga memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes.