Jika berbual dengan Azwan Ali atau panggilan mesranya Diva AA, memang tidak pernah habis. Ada saja celoteh dan cerita yang mahu dikongsi. Biarpun sentiasa dikritik teruk oleh segelintir pihak, namun ianya tidak melunturkan semangatnya untuk terus berada di dalam industri.

Terbaru dia berkongsi berita yang hingga kini masih sukar untuk dia sendiri percaya - kembali menjadi pengacara di kaca televisyen.

"Memang terkejut dapat offer jadi host. Aku ingat mereka silap hantar mesej WhatsApp, ingat jadi artis jemputan tapi rupa-rupanya jadi pengacara.

"Lebih mengejutkan, aku akan mengacara bersama dengan Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom. Dia seorang personaliti yang brilliant," kata Diva AA kepada Gempak.

Kata Diva AA lagi, dia terharu kerana masih ada yang memberikan sokongan kepada dirinya dan masih nampak bakat yang ada pada dirinya.

"Macam mimpi! Umur dah 54 tahun, tapi Alhamdulillah Allah SWT dah kata itu rezeki aku.

"Pengacara silih berganti tapi aku tetap bersyukur kerana masih lagi diberi peluang. Maknanya orang masih ingat kemampuan aku mengacara," kata Diva AA lagi.

Tambah Diva AA, dia mengambil langkah-langkah drastik untuk kembali sebagai pengacara di kaca TV.

"Aku banyak bercakap dengan cermin dan berlatih, maklumlah dah lama sangat tak cakap ikut skrip.

"Dah dua minggu juga aku tak makan nasi. Aku pun pakai bengkung untuk pastikan nampak tegak dalam usia macam ni," katanya sambil ketawa kecil.

Tambah Diva AA lagi, dia masih menganggap tawaran untuk menjadi pengacara bersama dengan Elly Mazlein tersebut masih lagi seumpama mimpi buat dirinya.