Bekas suami kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida, Mohd. Amin Yasin mengakui dia terpaksa membuat tuntutan hadanah selepas merasakan bekas isterinya itu cuba memutuskan silaturahim antara seorang ayah dan anak.

Lebih menyedihkan, menurut Mohd Amin, anak-anaknya itu juga pernah tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman untuk menziarahi datuk mereka ketika meninggal dunia pada November 2017.

"Saya buat tuntutan sebab merasakan dia nak pisahkan saya daripada anak. Paling kurang pun boleh sembang ke apa. Ini, bapa saya mati, nak suruh anak saya balik, mereka tak benarkan.

"Biarlah anak itu datang jumpa dengan ayah mereka. Bukan nak suruh duduk dengan kita. Macam sekarang ini, nenek dia nak jumpa sebab tengah sakit tenat," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Menurut Mohd. Amin lagi, dia juga merasakan seolah-olah dirinya diperlakukan seperti yang pernah terjadi ketika bersama dua orang arwah anaknya yang terkorban ketika insiden kebakaran pada 2013.

"Dia buat saya macam dengan arwah anak saya dulu. Arwah dua orang dulu terlalu rapat dengan saya. Waktu mereka meninggal dunia saya tak sempat jumpa, tak tunggu saya pun (nak kebumi)," katanya.

Ceritanya lagi, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah hubungan dengan dua anaknya yang tinggal bersama Vida iaitu Nur Edlynn Zamileen (CikB) dan Muhammad Eric Zecquan (Kacak).

"Hubungan saya dengan anak okay sahaja. Tak ada apa-apa masalah. Bila telefon anak, orang lain jawab, tapi bukan suara bekas isteri. Mereka tak tukar nombor, memang pakai nombor itu lagi.

"Bila saya cuba hubungi dia (bekas isteri), dia jawab, tapi apa-apa katanya suruh cakap dengan kakak angkatnya," ujarnya.

Begitupun, kata Mohd Amin, dia berharap agar segala permasalahan ini tidak berterusan berpanjangan.

"Saya nak biar selesai cara baik. Nak lepas rindu anak sahaja," katanya.

Terdahulu, Mohd Amin membuat tuntutan hak penjagaan di Mahkamah Tinggi Shariah Kota Bharu, Kelantan.

BACA: Bekas Suami DSV Tuntut Hak Lawatan Anak, Dakwa Hampir Dua Tahun Tak Jumpa Cik B & Kacak!

Mohd Amin mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan gelaran Datuk Seri Vida (DSV) pada tahun 2000 sebelum berpisah lapan tahun kemudian.

Sepanjang tempoh tersebut mereka dikurniakan empat orang anak iaitu, Nur Edlynn Zamileen, Muhammad Eric Zecquan, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikri.

Begitupun, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikri terkorban dalam kebakaran rumah di Ipoh, Perak pada 2013.


Kredit foto: Instagram @datoserivida, Kosmo! Online