"Dengan rendah dirinya, saya mengajak rakan-rakan Yang Berhormat untuk menghayati dan menilai pembentangan Belanjawan ini dengan semangat perpaduan, hati terbuka dan berjiwa besar," begitu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membuka gelanggang Belanjawan 2021 yang masih berlangsung saat ini.

Belanjawan 2021 disifatkan sebagai paling mendebarkan dan bersejarah sepanjang tempoh pandemik Covid 19 melanda dunia, apa lagi banyak rakyat Malaysia yang mengalami krisis ekonomi meruncing kesan daripada krisis ini.

Pada saat banyak yang masih tekun memantau dan menghayati semua Belanjawan 2021 yang dibentangkan Tengku Zafrul, terdapat banyak momen lucu dan tersendiri yang terjadi sepanjang semua rakyat sangat bersemangat untuk mengetahui hak mereka melalui pembentangan bajet yang sangat penting ini.

Berikut Gempak kongsikan serba sedikit perkembangan yang dikutip dari pelbagai sumber dan platform media sosial sepanjang proses Belanjawan 2021 dibentangkan.

Pembentangan Belanjawan 2021 Tertangguh 15 Minit



Pembentangan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 yang sepatutnya bermula 4 petang di Dewan Rakyat terhenti selama 15 minit membuatkan rakyat yang sudah tidak sabar menunggu pembentangan bajet ini tertanya tanya.

Rupa rupanya, hal ini kerana SOP sedia ada adalah mengehadkan hanya 80 orang Ahli Parlimen dibenarkan masuk ke dewan pada satu-satu masa, namun untuk hari penuh bersejarah ini Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bangkit memohon agar dibenarkan kesemua Ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Selepas mempertimbangkan permohonan itu, Speaker Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya membenarkan kesemua Ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Azhar bagaimanapun berkata SOP sedia ada iaitu had 80 orang Ahli Parlimen pada satu-satu masa, akan berjalan pada sesi seterusnya Isnin ini.

Misteri Beg Kelabu Menteri Kewangan



Beg Kelabu yang dibawa Menteri Kewangan menjadi tumpuan warganet. Dalam salah satu cuitan, ada warganet yang mengatakan beg yang dibawa oleh Menteri Kewangan sebagai beg keramat.

Tahun ini, beg kelabu yang dibawa Tengku Zafrul turut diperkatakan. Hal ini kerana ia dilihat bersaiz sedikit kecil dari tahun tahun sebelumnya.

"Variasi beg keramat berisi teks ucapan belanjawan tahunan. Dari tradisi beg bimbit hitam kepada beg sampul. Mana satu menjadi pilihan?" cuit seorang pengguna Twitter.

Meski demikian misteri beg kelabu Tengku Zafrul terjawab apabila beliau sebenarnya hanya membawa tablet berbanding teks yang selalu diisi dalam beg bimbit berwarna hitam.

KJ Tonton Belanjawan 2021 Sambil Makan Popcorn



Tak dapat masuk dewan tak ada masalah. Gaya beberapa menteri yang mengikuti rapat pembentangan Belanjawan 2021 dari pejabat macam tengah menonton wayang!

Sambil tekun mendengar, sambil makan popcorn, begitu cara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin mengikuti pembentangan Belanjawan 2021.

Korang yang di rumah, makan apa pula?

One Off RM500 Untuk Frontliners, Ada Yang Tak Puas Hati



Kerajaan mengumumkan Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerima pemberian tambahan secara one-off sebanyak RM500.

Pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa anggota petugas barisan hadapan KKM dan dijangka memanfaatkan 100,000 petugas kesihatan.

Biar ia disambut baik, namun ada segelintir warganet yang mengatakan pemberian one off tersebut sebagai kurang setimpal dengan pengorbanan termasuk nyawa yang diberikan oleh para petugas KKM.

Kredit Foto: AWANI