Belanjawan 2021 baru selesai dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebentar tadi.

Daripada 108 muka surat, Gempak pecahkan antara topik yang menjadi tumpuan ramai bagi memudahkan untuk difahami oleh semua pihak.

1. Yang ditunggu ramai orang. Akhirnya kerajaan membenarkan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sebanyak RM500 setiap bulan untuk tempoh 12 bulan.

BACA: Akhirnya! Kerajaan Benarkan Keluar Akaun 1 KWSP Secara...

Caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 kepada 9 peratus untuk 12 bulan mulai Januari 2021.

2. Institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Ada dua pilihan moratorium yang akan bermula pada bulan Disember 2020 iaitu:

i) Menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan.

ii) Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

3. RM1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi Perkhidmatan Kesihatan Awam berkaitan COVID-19 bagi tahun 2021.

Peruntukan itu meliputi pembelian bekalan Reagen, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan perolehan peralatan serta bekalan peralatan dan ubat-ubatan di hospital.

4. Bantuan Sara Hidup (BSH) digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Bantuan Prihatin Nasional 2.0 fasa kedua yang berjumlah RM2.2 bilion akan diteruskan secara bersasar.

5. Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) akan dilaksanakan dengan 500,000 peluang pekerjaan baharu selain pelbagai program peningkatan kemahiran dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion.

6. Golongan belia yang berumur antara 18 hingga 20 tahun akan menerima RM50 secara sekali beri ke dalam akaun e-wallet melalui Program eBelia.

7. RM1 billion diperuntukkan lagi untuk membendung gelombang ketiga COVID-19 .

8. Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan daripada syarikat penerbangan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

9. Seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

10. Bagi menjamin pembangunan Islam, kerajaan memperuntukkan RM1.4 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

BACA: Chill, Jangan Stress...Ini Momen Menarik Sepanjang Pembentangan Belanjawan 2021



Kredit Foto: AWANI