Instafamous yang menggunakan akaun Instagram tokwann_, Muhammad Hanif Muhammad Termizi turut membuat laporan polis berkenaan dengan akaun palsu yang menghantar Direct Message kepada pelakon Syafie Naswip mengugut untuk membomohkan beliau.

"Saya dah membuat laporan polis mengenai akaun palsu tersebut di Balai Polis Batu Kurau, Taiping Perak selepas beberapa orang kawan saya menegur saya mengenai Direct Message yang dikongsi oleh Syafie Naswip menggunakan gambar saya.

"Dahlah hantar mesej kepada pelakon terkenal menggunakan gambar saya, nama akaun tersebut pula menghina Tuhan. Sangat melampau perbuatan tersebut," kata Hanif yang lebih mesra dipanggil Tokwan kepada pihak Gempak.

Menurut Hanif yang mempunyai lebih 77,000 pengikut di Instagram, ini bukan pertama kali orang mencipta akaun palsu menggunakan gambar-gambar dan video-video miliknya, tetapi inilah kali pertama orang menggunakannya untuk mengugut artis.

"Saya turut menghubungi adik kepada Syafie, Sapawi, untuk menjelaskan keadaan yang sebenar dan memberitahu dia bahawa saya turut membuat laporan polis.

"Saya juga nak tanya pada empunya akaun palsu tersebut kenapa main-mainkan nama Tuhan sebab ramai yang marah saya kerana ingat saya yang buat perkara tersebut.

"Saya pun jadi marah kerana saya dikecam ramai atas perkara yang bukan saya lakukan," tambahnya.

Tokwan turut berharap orang yang menyamar menggunakan gambarnya itu berjaya dijejak dan ditangkap kerana dia ingin melihat wajah orang di sebalik akaun palsu tersebut.

Syafie Naswip turut membuat laporan polis di Balai Polis Nilai pada malam tadi.

Baca: "Undang-Undang Allah Ada, Tapi Kita Ikut Jugalah Ikut Undang-Undang Negara," - Diugut, Syafie Naswip Buat Laporan Polis