Pelakon popular, Zul Ariffin berkongsi tips untuk para pelakon yang baru menceburi bidang lakonan.

Menurut Zul, sikap profesional dan mindset adalah dua perkara penting yang harus sentiasa diamalkan.

"Sebagai seorang pelakon, kita harus sentiasa mengutamakan sikap profesional. Apa yang penting, letakkan diri kita sebagai seorang pelakon, itu yang saya amalkan sejak dari mula penglibatan saya dalam industri seni.

"Jika kita letakkan diri sebagai 'selebriti' ia akan jadi lain. Ia akan menjadi lain berbanding menganggap diri sebagai pelakon yang bekerja," katanya.

Tambah Zul, ramai pelakon masa kini menumpukan perhatian untuk meletakkan diri mereka sebagai selebriti.

"Zaman sekarang, ramai pelakon yang fokus untuk meletakkan diri mereka sebagai seorang selebriti, bagi saya ia agak sukar.

"Orang ramai boleh memanggil saya sebagai selebriti dan sebagainya, tetapi apa yang ada dalam minda saya, saya hanyalah pelakon yang bekerja di set penggambaran.

"Dengan mindset sebegitu, senang untuk saya membawa diri, jika ada orang cakap saya masih tak capai jangkaan tertentu, saya tidak berasa tertekan, kerana tujuan saya bukan untuk jadi famous, saya hanya mahu berlakon," katanya lagi.

Zul berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem Penunggang Agama di Puchong, Selangor malam tadi.

Dalam telefilem tersebut, Zul memegang watak sebagai seorang suami yang kuat agama dan berhadapan cabaran getir apabila ahli keluarganya mengalami gangguan makhlus halus.

Penunggang Agama turut dibintangi oleh Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan dan Johan Asari dan dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.