Pengarah filem Razaisyam Rashid mengakui berasa teruja apabila diberi kepercayaan untuk mengarahkan sebuah filem berjudul Mulut Masin.

Menurut Razaisyam, karya terbitan Astro Shaw itu merupakan cubaan sulungnya dalam mengarahkan filem yang mengangkat kanak-kanak sebagai teraju utama.

"Agak susah juga nak mengarahkan. Maklumlah, budak-budak ni tak macam orang dewasa. Kita tak boleh nak marah mereka. Kena pandai urus buat macam anak kita.

"Ada antara mereka pun baru berumur 12 ke 13 tahun. Jadi, pendekatan yang perlu digunakan berbeza, tidak seperti pelakon dewasa," katanya ketika dihubungi Gempak.

Jelasnya lagi, dia juga perlu mengadakan sesi latihan raptai terlebih dulu bersama pelakon kanak-kanak yang terlibat.

"Kita ada buat rehearsal selama 10 hari dulu sebelum masuk ke set penggambaran. Ini merupakan cabaran baru buat saya kerana pertama kali mengarahkan cerita kanak-kanak," katanya yang sebelum ini mengarahkan filem kutipan pecah panggung, Pusaka.

Mulut Masin menampilkan empat pelakon kanak-kanak iaitu Jay Nazif, Danish Hazriq, Muzzayyin Mahyuddin dan Cassia Iman selaku teraju utama bersama As'ad Motawh.

Naskhah tersebut turut mengetengahkan pelakon, Lan Pet Pet, Datin Maria Farida, Farahdhiya, Aloy Paradoks dan Khatijah Tan.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)



Karya yang mengangkat genre komedi seram itu menceritakan kisah lima sepupu yang merasakan diri mereka disumpah dengan sumpahan mulut masin arwah nenek kerana menghilangkan surat wasiat nenknya.

Mereka berusaha untuk membatalkan sumpahan tersebut dengan mencari semula wasiat yang telah hilang sebelum sumpahan itu memecah-belahkan keluarga mereka.

Jadi, jangan lupa saksikan Mulut Masin bermula 19 November (Khamis) di pawagam rumah anda!

Naskhah tersebut boleh ditonton menerusi Astro First (saluran 480) selain pilihan yang lebih fleksibel menerusi strim di Astro GO atau On Demand.