Walaupun ramai yang memuji vokal pelakon jelita Afifah Nasir, namun empunya badan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk ke arah menjadi seorang penyanyi.

Ketika ditemui Gempak, Afifah hanya menganggap nyanyian hanyalah hobi sahaja dan dia memang lebih terarah kepada bidang lakonan yang diminatinya.

"Afifah sebenarnya memang minat menyanyi tetapi Afifah sebenarnya tak tahu sangat pasal muzik. Afifah menyanyi ikut apa yang Afifah rasa okay saja. Tak tahu, key apa, note apa. Kalau rasa sedap di telinga, itulah yang Afifah ikut.



"Sebelum ni ada juga program Masked Singer tanya Afifah untuk jadi salah seorang daripada peserta, tapi Afifah memang tak berapa yakin kerana kena masuk studio semua. Menyanyi dan berlakon ni bukan senang.

"Jadi Afifah tolak secara baik kerana memang Afifah tak berapa yakin dan rasanya belum bersedia lagi. Nanti menyanyi suara tak sedap kena kecam," katanya sambil ketawa.

Ditanya tentang bidang lakonan yang diminatinya, Afifah tersenyum manis.

"Kalau berlakon, suruhlah bawa watak apa sekalipun, Insya-Allah Afifaf akan buat yang terbaik. Tidak kisah walaupun tidak perlu memakai alat solek, ataupun diletak air tanah atau minyak sekalipun, Afifah akan lakonkan watak tersebut.



"Alhamdulillah, untuk Afifah tawaran drama makin banyak sekarang ni, memang sibuk di lokasi. Afifah memang cuba slotkan sebaik mungkin tetapi kalau jadual bertindih, Afifah memang tak akan ambil job tu.

Pada Afifah jangan tamak dan jangan pentingkan diri sendiri. Mungkin ada rezeki lain dan rezeki yang diterima itu mungkin milik orang lain.

"Kalau ambil dua tawaran dalam satu masa, ianya akan menyusahkan ramai pihak. Jadi kalau boleh, Afifah memang tak akan ambil dua job dalam satu masa," terang Afifah mengakhiri bicara.

Kredit Gambar: Instagram @afifahnasir93