Tidak dapat dibayangkan perasaan gementar apabila berdiri di atas pentas bersama pelawak-pelawak yang sememangnya spontan, di tambah lagi dengan ayat-ayat yang sentiasa berubah-ubah. Itulah yang dirasakan oleh penyanyi Hazama apabila menjadi artis cameo untuk Sepahtu Reunion Live 2020 malam tadi.



"Sampai sekarang ni (ketika ditemu bual) tangan saya masih berpeluh-peluh memikirkan ketika melakonkan watak saya tadi di pentas Sepahtu Reunion. Pengalaman ni memang sangat best kerana dia buat kita ada 'adrenaline rush' sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku walaupun kita dah ada skrip sebelum ni.

"Sebelum saya masuk ke pentas, di belakang dalam bilik yang disediakan untuk kami bersiap ada TV. Jadi saya tengok babak-babak sebelum tu, eh mereka ni macam tak ikut skrip sangat. Masa tulah saya jadi nervous. Jangan ceritalah berapa banyak doa yang saya baca sebelum ke pentas," kata Hazama sambil ketawa.



Menurut Hazama dia bersyukur walaupun sangat gementar dan sedikit lari daripada yang asal, dia masih berpegang kepada jalan cerita agar dapat melunaskan sepenuhnya watak yang dibawa supaya cerita tersebut ada penamatnya.

"Saya seronok tapi saya akui nervous dia memang lain macam. Konsert final pun tak nervous macam ni. Sebab tu tadi kalau semua tengok, saya sampai tersasul menyanyi lagu sendiri. Tambah-tambah lagi Sepahtu Reunion ni memang ditayangkan secara langsung.



"Kalau buat salah tu, salahlah dan berharap ada orang akan bantu cover kesalahan tersebut. Kalau rakaman, tersalah menyanyi tadi tu boleh buat balik, tapi sebab live, itulah terus tersasul tak tahu bila nak masuk lagu. Tapi memang betul, saya sangat seronok! Kalau dapat jadi pelakon jemputan setiap minggu pun boleh juga," kata Hazama mengakhiri temu bual bersama Gempak.

Sepahtu Reunion Live 2020 boleh anda saksikan secara langsung setiap hari Khamis, jam 9:00 malam di Astro Warna (127) dan Warna HD (107). Anda juga boleh strim On Demand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box. Ketahui lebih lanjut di sini.