Penghijrahan dalam kehidupan pastinya memerlukan keazaman dan istiqomah yang berterusan.

Dalam Naura Shares episod ke-17 malam ini, pelakon Noor Khiriah tampil berkongsi tentang kisah hijrahnya dan bagaimana dia meneruskan kerjaya sebagai seorang pelaku seni lepas itu.

Khiriah ada menyebut, penghijrahannya menutup aurat bukan kerana dia mendapat petanda seperti mimpi dan sebagainya, tetapi disebabkan sebuah watak yang dimainkan memerlukannya menutup aurat.

Selepas bekerja, dia terus memakai tudung kerana tidak tahu untuk menggayakan rambut hari itu, tetapi apa yang dirasakan ketika itu adalah perasaan yang selamat. Selepas itu, Khiriah mula memakai pakaian besar dan longgar sehingga menutup aurat sepenuhnya seperti hari ini.

Khiriah mempunyai keazaman yang tinggi dalam penghijrahan kerana dia hanya menerima tawaran lakonan yang sesuai dengan imej berhijabnya.

Pelakon berbakat ini sering menitiskan air mata apabila memikirkan tentang peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya ini untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.

Nak tahu lebih lagi tentang perkongsian Khiriah? Jangan lupa saksikan Naura Shares malam ini!

Naura Shares yang kini memasuki musim ke-14 ditayangkan setiap Jumaat, pukul 9.00 malam di NAURA (saluran 109).

Dihoskan oleh Hana Ismail, Naura Shares turut menampilkan tetamu undangan lain seperti Datuk Chef Wan, Naim Daniel, Datin Alyah dan ramai lagi.