Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar memaklumkan bahawa kedua-dua anak kembarnya yang baru berusia lima hari mengalami jaundis atau demam kuning hari ini.

Menurut Dr. Sheikh Muszaphar, anak kembarnya itu kini perlu menjalani rawatan fototerapi berikutan bacaan paras bilurubin anaknya agak tinggi.

"Kedua-dua anak kembar saya mengalami demam kuning hari ini. Paras bacaannya tinggi iaitu 210.

"Mereka kini menjalani rawatn fototerapi. Harapnya ini hanyalah jaundis fisiologi sahaja," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instgaram awal pagi tadi.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut memuat naik sebuah video yang memaparkan sepasang anak kembarnya itu menjalani rawatan fototerapi.

A post shared by Dr Sheikh Muszaphar Shukor (@drsheikhmuszaphar)


Pada masa sama, Dr. Sheikh Muszaphar berkata, anaknya juga perlu menjalani pemeriksaan darah setiap hari bagi mengenal pasti tahap kesihatannya.

"Penting untuk mereka kekal hidrasi, teruskan penyusuan badan dan dedahkan pada sinaran matahari pagi atau fototerapi.

"Ujian darah harian perlu untuk memantau sama ada trend bacaan meningkat atau menurun. Maksudnya hari-hari kena cucuk, kasihan pula, dan setiap kali itu jugalah saya yang merasai kesakitannya.

"Bertahan anakku, Daddy akan sentiasa berada di sini. InsyaAllah semuanya akan beransur baik," katanya.

Sebelum ini, isterinya, Datin Dr. Halina Mohd. Yunos melahirkan anak kembar kedua mereka pada 20 November lalu.

BACA: “Kami Pilih Hari Jumaat 20.11.20” - Dr Sheikh Muszaphar Bersedia Dr Halina Akan Melahirkan Bayi Kembar Mereka Pagi Ini

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha dan kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah.