Seorang penyanyi yang juga merupakan penceramah agama bebas telah ditangkap polis malam tadi atas dakwaan disyaki merogol seorang wanita yang juga kenalan media sosialnya.

Suspek didakwa melakukan perbuatan jijik itu di Studio I-Soho, Seksyen 7, Shah Alam dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Sahat berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan sekitar 11 malam tadi selepas hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan ekoran laporan polis daripada mangsa rogol pada Rabu lalu.

“Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu mangsa perempuan berusia 23 tahun telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram dengan menaiki kereta jenis BMW milik suspek.

"Mangsa bertemu suspek untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

“Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3, Shah Alam dan selepas makan, mangsa telah dibawa ke rumah suspek di Seksyen 7.

"Dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar dari penyakit kemurungan.

“Mangsa telah dirogol oleh suspek dan mangsa tidak terdaya hendak melawan serta tidak tahu cara mahu keluar dari tempat tersebut,” katanya.

Suspek juga dikatakan telah memberi amaran kepada mangsa keesokan harinya iaitu pada 12 September 2019, sekitar jam 6.40 pagi.

Suspek didakwa memberikan amaran kepada mangsa supaya merahsiakan apa yang berlaku dan memberitahu pergerakan mangsa sentiasa dipantau.

Menurut Baharudin, suspek terus menghantar mangsa ke bawah lobi apartment dan mangsa menaiki Grab untuk pulang ke rumah sewa mangsa di Subang Jaya.

Bagaimanapun pada 23 September 2019 mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang kerana mengalami tekanan perasaan serta dirujuk ke rawatan psikiatri.

“Pada Oktober 2019, mangsa telah balik ke rumah keluarga di Triang, Pahang serta telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan ditahan di wad psikiatri selama lima hari.

“Pihak Hospital Temerloh telah mengatakan mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan sehingga laporan polis ini dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan saspek yang ditahan di lokap IPD Shah Alam akan direman pagi ini untuk membantu siasatan lanjut.

Sumber: Malaysia Gazzette