Perintah reman terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed dilanjutkan selama lima hari bermula esok sehingga Ahad ini.

Timbalan Pendaftar Tuan Ahmad Feisal Mohd Azmi mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan reman daripada pihak polis terhadap suspek.

Suspek yang sepatutnya tamat tahanan reman bagi kes pertamanya pada Selasa ini akan terus disiasat selepas polis menerima enam laporan masing-masing membabitkan lima laporan diterima di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.



Sebelumnya, Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Syah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, yang dikenali menerusi sebuah rancangan realiti keagamaan hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 11 pagi.

Sementara itu suspek yang diwakili peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata pihaknya akan mengambil tindakan berlandaskan lunas undang-undang.

“Anak guam saya menafikan sebarang tuduhan-tuduhan yang dibuat dan sedia beri kerjasama kepada pihak polis bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.



“Dia juga akan cuba untuk membersihkan nama mengikut peruntukan undang-undang. Saya dimaklumkan ada banyak laporan polis yang muncul dari merata-rata, ada kemungkinan dia akan disambung reman di balai-balai lain, ” jelasnya sewaktu ditemui media termasuk Gempak, sebentar tadi.

Pada malam Isnin, polis menerima enam laporan kes salah laku seks berkaitan pendakwah yang turut bergelar penyanyi itu.

Siasatan bakal dijalankan di bawah kesalahan kesalahan seksual 376 Kanun Keseksaan (rogol), 354 kanun Keseksaan (cabul), 377 (c) (seks luar tabii) dan 323 Kanun Keseksaan (mencederakan).

Terdahulu, Da’i Syed direman lima hari pada 27 November bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita pada September tahun lalu.