Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengatakan penceramah bebas yang kini direman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dipercayai menggunakan kedudukannya yang dikenali ramai sebagai salah satu cara 'menjerat' mangsanya.

Dalam sidang media yang diadakan di Bukit Aman siang tadi, Huzir mengatakan siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kedudukannya yang dikenali ramai itu untuk mengajak mangsa keluar sebelum melakukan perbuatan terkutuk.

"Polis juga mendapati mangsa berkenalan dengan suspek menerusi mesej peribadi di laman Instagram sebelum dipelawa untuk berkenalan dan keluar makan.

"Kemudian suspek memperdaya dan memerangkap mangsa untuk dibawa ke rumahnya," kata Huzir seperti dilaporkan Awani.

Sehingga kini, polis secara keseluruhan kini sudah menerima tujuh laporan dan telah membuka dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Satu kertas siasatan pula dibuka mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii dan selebihnya di bawah Seksyen 354 kanun sama iaitu mencabul.

"Semua mangsa berusia antara 22 hingga 26 tahun," katanya.

Beliau berkata, polis percaya ada mangsa lain akan tampil membuat laporan polis terhadap suspek dan pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes melibatkannya.

Sehubungan itu, beliau meminta individu yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh suspek untuk segera tampil membuat laporan.

Suspek pernah menyertai sebuah rancangan realiti keagamaan pada 2016 sebelum popular sebagai penyanyi dan pelakon.