Penonton dan peminat filem komedi seram sering disajikan dengan pelbagai jenis hantu. Muncul dengan kelainan, Astro Shaw mempersembahkan hantu yang kelakar, suka pamerkan aksi comel dan mampu berinteraksi dengan manusia.

Gelagat lucu tersebut boleh ditonton menerusi filem terbaru terbitan Astro Shaw dan produksi oleh Alpha47 Films, iaitu Saka Nan Sepi.

Filem komedi seram ini telah mendapat sentuhan oleh pengarah Razaisyam Rashid dan Azri Azman. Jika sebelum ini Razaisyam mengarahkan filem seram dengan elemen yang lebih serius iaitu Pusaka, tetapi kali ini beliau tonjolkan kebolehanya dengan mengarahkan filem komedi seram dengan menyuntik elemen lucu terutamanya kepada hantu itu sendiri.

Sarat dengan unsur komedi dan nilai kekeluargaan, penonton pasti dapat merasainya menerusi lakonan mantap yang dijayakan oleh barisan pelakon terkenal tanah air seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Sherry Al Hadad, Namron, Ayie Hushairi Husain dan Han Zalini.

Jika kebiasaanya, kehadiran hantu pasti mengundang rasa takut dan menyeramkan tetapi bezanya Saka Nan Sepi memperlihatkan hantu yang takut kepada manusia.

Ia dapat disaksikan menerusi watak Girlboy atau Saka yang merupakan hantu yang kelakar, takutkan manusia dan kucing, rajin membantu serta pendengar yang baik.

Manakala pelakon lain seperti Namron membawa watak seorang bapa yang romantik dan kelam kabut. Sherry Al Hadad pula menjayakan watak seorang isteri baru kepada ayah bekas rakan sekelasnya tetapi kehadirannya tidak diterima oleh anak-anak tirinya.

Syafiq Kyle membawa watak seorang anak lelaki yang penakut dan banyak habiskan masa bermain 'game' manakala Mimi Lana dengan watak anak perempuan yang sentiasa dengan dunianya sendiri.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata filem seram dan komedi ini menjanjikan kelainan kepada penonton dan pasti menghiburkan hati hasil daripada gabungan pelakon-pelakon hebat.

"Astro Shaw terbitkan sebuah lagi filem yang diterbitkan eksklusif untuk tayangan di Astro First. Bagi memenuhi kehendak peminat filem seram dan komedi, kami terbitkan Saka Nan Sepi dan ia menampilkan gandingan pelakon-pelakon berbekat besar dan garapan pengarah hebat.

"Penonton dapat saksikan kemunculan semula Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 melalui filem Pusaka, iaitu Syafiq Kyle dan Mimi Lana. Malah, Syafiq Kyle, Namron, Mimi Lana dan Sherry Al Hadad juga turut tonjolkan sisi berbezanya dengan watak humor.

"Menariknya, tidak seperti filem seram komedi yang lain di mana kebiasaanya akan tonjolkan hantu yang menyeramkan, tetapi Saka Nan Sepi tampilkan hantu yang berbeza yang mana kami merasakan keadaan fizikal dan perwatakannya boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat.

"Memandangkan filem ini bakal ditayangkan di pawagam rumah anda, jadi hantu dan jalan ceritanya yang lebih santai amat bersesuaian dengan tontonan seisi keluarga. Kami harap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata kepada penonton Astro tetapi turut menyampaikan mesej tersirat yang boleh diambil sebagai pengajaran," katanya.

Saka Nan Sepi menceritakan keluarga Othman (Namron) luangkan masa dengan berkhemah di dalam hutan. Tiba-tiba anaknya Rozi (Mimi Lana) telah dirasuk. Mereka terus mambawa Rozi berjumpa bomoh Tok Kassim (Ayie Hushairi Husa) untuk berubat.

Saka tersebut tertarik dengan Rozi dan memilih untuk tinggal dengan keluarga Othman. Apabila pulang ke rumah, Othman, Zaiton (Sherry Al Hadad), Sufian (Syafiq Kyle) dan Rozi mula nampak kelibat Saka tersebut dan mereka hidup dalam ketakutan. Sekaligus menyebabkan mereka berempat sentiasa duduk bersama tidak kira ketika makan, tidur serta melakukan aktiviti.

Ketakutan mereka hilang apabila melihatkan Saka itu takut kucing tetapi bersifat lemah lembut dan rajin membantu. Apabila keluarga Othman boleh menerima Saka itu dan memberi nama Girlboy, Tok Kassim kembali untuk mencuri Girlboy.

Jangan lupa saksikan Saka Nan Sepi mulai 10 Disember di pawagam rumah anda, Astro First, saluran 480 selain pilihan yang lebih fleksibel menerusi strim di Astro GO atau On Demand.

Setiap langganan RM15, penonton berpeluang menonton naskah tersebut berulang kali dalam tempoh 48 jam.