Pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pagi tadi.

Menerusi perkongsian Rizalman di laman Instagram, juri program realiti Pelamin Fantasia itu menyatakan rasa syukurnya dikurniakan gelaran tersebut.

“Mungkin selama ini saya tidak pernah mengeluarkan kata-kata bagi mengalung budi kepada setiap individu yang Allah s.w.t telah tetapkan untuk bertemu di dalam perjalanan hidup saya. Betapa hebatnya sistem lingkaran qada dan qadar yang berlaku dalam setiap kehidupan seseorang individu itu, baik yang datangnya baik atau buruk dari segi sifatnya.

“Semuanya adalah kebaikkan semata. Betapa bertemunya kedua ibubapa saya hingga melahirkan zuriat mereka yang bernama Rizalman, bidan yang menyambut, keseluruhan adik beradik yang menjaga kebajikan saya dari kecil hingga dewasa, jiran yang membantu kala susah, pemandu bas yang membawa saya ke sekolah, guru-guru yang mendidik, kawan-kawan yang membakar semangat, batalion pekerja yang menyokong syarikat untuk berdaya maju, kenalan peminat di Instagram serta Facebook yang tidak berhenti berzikir melontarkan doa serta hilaian ketawa anak-anak sebagai suri hati.

“Kepada semua saya ucapkan jutaan terima kasih kerana melihat bakat, pengorbanan serta senantiasa setia berada di sisi saya. Hari ini, hari di mana Allah telah mengangkat darjah dan pangkat saya di dunia. Moga Allah akan mengangkat pangkat dan darjah saya sebegini jua di Akhirat kelak,” tulis Rizalman panjang lebar.

Selain Rizalman, bekas kapten pasukan hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi turut dianugerahkan DIMP yang membawa gelaran 'Datuk'.

Teks oleh: Kamaruddin Razal