Skip to main content

Budaya Popular

All Stars Buka Panggung: Hampir Tarik Diri, Aaron Aziz Juara Minggu Pertama!

aaron-allstar-header-(1).jpg
Pelakon Datuk Aaron Aziz diumumkan sebagai juara minggu pertama rancangan realiti hiburan spontan All Stars Buka Panggung (ASBP) yang berlangsung di Royal Teater Shah Alam malam tadi.

Menariknya, jelas Aaron dia hampir menarik diri saat akhir daripada rancangan tersebut namun berjaya dipujuk beberapa individu terdekat untuk turut serta.

"Kemenangan ini di luar jangkaan saya, terima kasih kerana meyakinkan saya untuk meneruskan rancangan ini.

"Awal-awal memang saya berniat nak tarik diri sebab saya rasa saya tak layak untuk membuat lawak.

"Tetapi saya memikirkan balik kesulitan yang akan dihadapi oleh pihak produksi nanti, jadi saya teruskan saja berjuang," katanya kepada Gempak usai acara malam tadi.

Pada episod pertama setiap pelakon diberikan babak secara spontan bersama gandingan sama ada Ajak atau Shiro.

Aaron menampilkan sisi berbeza sebagai lelaki lembut yang bertugas sebagai jurusolek bernama Ziana yang kemudiannya diarahkan untuk menatarias Datuk Jalaluddin Hassan.

Manakala, pada segmen kedua, Aaron digandingkan bersama Naim Daniel untuk diwawancara oleh Tengku Azura mengupas topik Selesema Ikan.

Menggungguli markah keseluruhan, Aaron telah berjaya mengalahkan tiga peserta lain pada episod pertama ASBP dengan kutipan markah sebanyak 37 peratus.

Manakala, tempat kedua diikuti oleh Naim Daniel (29%), Yusri Abdul Halim (18%) dan tempat terakhir, Liyana Jasmay dengan markah sebanyak 14%.

Aaron memenangi RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada pelakon veteran tanah air yang pernah membintangi filem Prebet Lapok, Abu Bakar Ahmad.

Aaron bakal berentap bersama pemenang episod seterusnya pada pusingan suku akhir pada minggu keenam nanti.

ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.

Advertisement

Must-Watch Video