HIBURAN
Bawa Watak Bukan Diri Sendiri, Elizabeth Tan Geli Tengok Hasil Lakonan
Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan mendedahkan pada permulaannya tidak ingin menerima tawaran lakonan dalam drama Senafas Rindu.
Menurut Elizabeth atau lebih mesra dipanggil Lizzy berkata dia merasakan watak yang dibawa itu bukan dirinya yang sebenar.
"Pada awalnya, saya sudah memberitahu yang saya tidak boleh membawa watak ini.
"Namun disebabkan mereka memerlukan watak seorang berbangsa Cina, saya menerima tawaran itu.
"Tetapi saya merasakan tidak boleh dengan watak itu kerana bukan diri saya.
"Saya telah mencuba yang terbaik untuk menjayakan watak itu.
"Saya tidak pernah mengambil kelas lakonan, belajar teknik dan menjaga konti. Semua itu saya belajar ketika berada di set penggambaran," katanya kepada Gempak.
Lizzy ditemui semasa majlis pelancaran produk mandian dan ubat gigi keluarannya menerusi jenama Mandi di Pavillion Elite, Kuala Lumpur.
Tambah pelantun lagu Semua Sudah ini dia berasa geli untuk menonton kembali lakonannya.
"Walaupun ini drama yang kedua, saya tidak sanggup untuk tonton lakonan diri sendiri. Saya rasa geli.
"Saya merasakan intonasi saya tidak bagus serta bertutur agak laju.
"Jadi saya kena menjaga semua itu untuk filem terbaru akan datang nanti," katanya lagi.
Dalam perkembangan terkini, Lizzy muncul dalam filem Misteri Dilaila yang sedang ditayangkan di pawagam mulai 21 Februari.
Selain Lizzy, filem Misteri Dilaila turut menampilkan pelakon Zul Ariffin, Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Namron dan ramai lagi.
Must-Watch Video