HIBURAN
Berat Untuk Bawa Watak Suri, Ernie Zakri Cabar Diri Dalam Bidang Lakonan
Penyanyi dan pelakon Ernie Zakri akui pada mulanya dia berasa kekok untuk melakonkan watak Suri dalam drama Suri Katriana.
Jelas Ernie, ini merupakan kali pertama dia berlakon di samping menjadi teraju utama.
"Sepanjang enam hari menjalani penggambaran, pada hari pertama boleh dikatakan saya agak kekok.
"Saya tidak pernah berlakon untuk drama. Sebelum ini saya hanya berlakon dalam muzik video sahaja. Jadi perasaannya tidak sama.
"Untuk watak saya sebagai Suri ini bukan sahaja sebagai gadis kampung tetapi banyak sangat perkara yang menimpa dirinya.
"Watak ini dipenuhi dengan emosi yang sedih. Sebenarnya agak berat untuk saya membawa watak tersebut tetapi alhamdulillah saya dibantu oleh rakan-rakan pelakon yang sudah lama terlibat dalam bidang lakonan," katanya kepada Gempak.
Ernie ditemui usai penggambaran drama Suri Katriana di Hulu Langat semalam.
Tambah pelantun lagu Ku Bersuara ini, dia ingin mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa.
"Saya terima tawaran ini disebabkan watak Suri sangat berkait rapat diri saya. Saya perlu menyanyi dan menari dan itu memang diri saya.
"Dalam pada itu, bagi saya watak ini memang sangat mencabar. Justeru saya cabar diri saya untuk memegang watak ini. Kalau tak buat rugi saya rasa," katanya lagi.
Selain Ernie, drama Katriana turut dibintangi pelakon hebat iaitu Ummi Nazeera, Hasnul Rahmat, Zul Huzaimy, Nazim Othman, Rozita Che Wan, Aishah Azman, Nadiyaa Nisa dan ramai lagi.
Drama arahan Pali Yahya akan mula ditayangkan mulai 29 Oktober 2019 jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Prima HD (saluran 121).