HIBURAN
Bila Badrul Bicara: Curang Sekali, Dimaafkan. Curang Kali Kedua... Tapi Curangkah?
Tiga empat hari kecoh tentang pasangan suami isteri Aliff Aziz dan Bella Astilla ini. Bukan kali pertama, tapi masuk kali kedua Aliff Aziz dikatakan curang dengan isterinya.
Saya kenal dengan Aliff sejak awal dia melibatkan diri dalam bidang nyanyian. Rapat dengan keluarganya terutama ibu Aliff, Sharifah Hafiza yang saya panggil Kak Fiza.
Cuma sejak saya berhenti daripada menguruskan artis, pertemuan kami jarang dan komunikasi kami juga hanya sekali sekala.

Ketika kes Aliff Aziz yang curang kali pertama dulu, memang saya geram! Sudah punya isteri yang cantik, seorang anak, tetapi bermain kayu tiga di belakang.
Saya anggap Bella seorang yang tabah apabila seorang isteri ditolak dan perlakukan sedemikian sehingga mendatangkan kecederaan, tapi masih boleh memaafkan demi keluarga tercinta, saya tabik!
Kes tersebut menjadi sangat panjang kerana Aliff juga cuba menarik tangan pasangannya ketika itu untuk sama-sama mengaku salah. Masing-masing cuba untuk menyelamatkan diri di mata manusia.

Pada saya, Bella bukan isteri sebarangan. Dia isteri yang punya 'pelajaran', bukan hanya bijak di sekolah, tapi street smart. Bila dia mengahwini Aliff, dia sudah tahu siapa yang dikahwininya.
Cerita keluarga ini menjadi lebih besar bila dibawa ke mahkamah awam. Seluruh juri yang bergelar netizen menjatuhkan pelbagai hukuman. Saya juga! Ya, saya akui, saya salah seorang daripadanya.
Tetapi ramai yang tidak mengetahui betapa 'hodohnya' di sebalik kehidupan dalam bidang seni ini. Sedikit anda terpengaruh, jauhlah anda jatuh. Kurang iman di dada, hancurlah apa yang dibina.

Terlalu banyak cerita yang sudah keluar tentang kecurangan Aliff Aziz ini. Bukan sahaja yang pertama, tapi juga yang masuk kali kedua ini.
Tetapi andaian saya, jika anda di bawah pengaruh alkohol dan apa jua substance yang membuatkan anda tidak menggunakan otak dengan bijak, apa-apa pun boleh terjadi.
Jika nafsu menjadi anda menggelupur setiap kali dahi licin lalu di hadapan anda, jangan katakan anak bini, ibu, ayah dan sesiapa sahaja tidak ada lagi dalam kepala anda.

Cuma bila saya buat pertanyaan, 'curangkah' pada tajuk di atas, kerana saya dapat merasakan Bella lebih tahu tentang suaminya, Bella lebih faham tentang industri ini, Bella juga arif kerana dia juga berada di dalamnya.
Ada yang menasihatkan jangan buka aib orang lain, apatah lagi aib suami, tetapi Bella tahu apa yang dia lakukan. Seorang isteri akan tetap mencari keadilan untuk dirinya, walau apa jua cara.
Dan seorang suami, ohhhhh Aliff Aziz! Persoalan saya sejak beberapa hari ini, adakah setiap kali kau melangkah keluar rumah, kau terus lupakan pada anak dan isteri? Kau lupa ibu dan ayah? Kau lupa ahli keluarga. Dan yang utama, kau lupa Tuhan?

Saya tidak lagi mahu panjangkan cerita ini kerana pasti ada lagi yang akan bercerita di luar sana. Cuma saya mahu tinggalkan satu kisah nasihat Imam Syafi'i untuk kita semua. Ya, kita semua!
Suatu hari Imam Syafi'i didatangi seorang lelaki(Suami). Dia mengadu kepada Imam Syafi'i tentang isterinya yang sudah tidak cantik, tidak Menarik lagi dipandangnya.
Suami: "Wanita yg aku nikahi itu pertama kali cantik dan menggairahkan. Tapi kenapa sekarang kecantikan dan daya tarik nya hilang,?"
Mendengar hal itu, Imam Syafi'i dengan tersenyum berkata: "Kamu ingin isterimu kembali lagi cantik, dan menarik?"
Suami: "Betul"
Imam syafi'i: "Tundukkan pandanganmu dari seluruh wanita yg diharamkan selama sebulan!"
Setelah mendengar nasihat tersebut, si suami segera mematuhi apa yang disampaikan Imam Syafi'i.
Sebulan kemudian lelaki tersebut bertemu kembali dengan Imam syafi'i.
Imam syafi'i pun bertanya: "Bagaimana sekarang? Isterimu sudah kelihatan cantik ?"
Suami: "Masya-Allah, sungguh tidak ada wanita cantik, menggairahkan selain isteriku."
Imam syafi'i pun berkata dari kenyataan itu:
"Sebenarnya isterimu tidak berubah. Namun ketika kamu menjadi lelaki yg sering memandang kepada wanita-wanita yg tidak halal, ketika itu Allah mencabut kenikmatan pandanganmu melihat yang halal.
"Ketika Allah mencabut kepadamu kenikmatan melihat yang halal itulah kenapa kamu melihat isterimu menjadi biasa."
"Akan tetapi ketika kamu meninggalkan pandangan yang haram. Lalu akhirnya kamu kemudian hanya menikmati pada pandangan yang halal (isterimu), di situlah kamu akan mendapati kenikmatan isterimu kembali."
Dari kisah ini dapat diambil hikmah bahawa sesungguh nya maksiat dapat mencemari nikmat dan indahnya ibadah.
Wallahualam.
Jumpa Lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.