HIBURAN
Bila Badrul Bicara: Kita Tidak Mahu Netizen Menghentam, Tapi Kenapa Kita Sendiri Buka Ruang?
Seminggu juga kecoh tentang perkahwinan Ahya Rosli ini. Bermula dengan majlis nikah ala dalam taman yang mendapat pujian ramai sehinggalah tercetus kontroversi ketika majlis resepsi.
Dari yang begitu indah, tiba-tiba berubah menjadi kontroversi yang luar biasa. Kenapa luar biasa? Kerana buat pertama kalinya netizen melancarkan kempen boikot.

Betul! Pada pemikiran Ahya, itu adalah perkahwinannya. Dia berhak untuk membuat apa saja untuk menghiburkan para tetamu yang hadir. Tetapi, kenapa perlu dikongsi dengan mereka yang tidak hadir? Kenapa perlu ditayangkan kepada semua?
Mungkin dia sendiri yang berkongsi, mungkin tetamu yang datang yang memuat naik video tersebut, tetapi persoalannya kenapa dikongsi dengan khalayak?

Kenapa netizen sangat marah? Paperdolls, lelaki yang berpakaian wanita dengan gaya yang seksi membuat persembahan di hadapan tetamu yang bersongkok serta anak-anak kecil. Itukah cermin satu perkahwinan dalam agama kita?
Mungkin saya boleh pusing balik ketika 10 - 15 tahun dahulu. Apabila wartawan menulis cerita di akhbar dan majalah. Banyak perkara-perkara rahsia dan mungkin aib para selebriti yang mereka simpan. Mereka tidak kongsikan kepada khalayak yang membaca.

Mungkin ada juga gosip-gosip yang ditulis, tetapi itu sekadar untuk 'menyedarkan' selebriti tersebut supaya tidak melakukan perkara yang sama, supaya berubah dan tidak mempengaruhi orang lain. Tanyalah wartawan-wartawan senior, berapa banyak rahsia yang mereka simpan.
Tetapi dengan media sosial sekarang ini, tanpa menggunakan akal fikiran dan hanya mahukan perhatian, apa sahaja dikongsi dengan semua. Seolah-olah tidak faham bahawa perkongsian mereka boleh membawa padah.

Terbaru, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) turut menyatakan tentang komen-komen kasar, berbaur hasutan dan lain-lain yang berkaitan adalah salah di sisi undang-undang.
Saya bersetuju! Sangat bersetuju! Kata-kata kesat, maki hamun, cacian, hinaan dan sebagainya tidak sepatutnya dibenarkan. Takkan kita nak ajar generasi baru atau mungkin anak-anak kita bahawa perkara tersebut dibolehkan! Bayangkan anak-anak kita sewenang-wenangnya memaki hamun kita, okay ke?
Untuk para selebriti, mungkin sudah tiba masanya kita cuba menilai yang mana sesuai untuk dikongsi dan yang mana patut disimpan sebagai hak peribadi.
Memang benar, tidak semua orang akan bersetuju dengan kita mana yang boleh dikongsi dan mana yang peribadi, tetapi sekurang-kurangnya kita gunakan akal fikiran yang diberi sebelum memuat naik sesuatu ke media sosial. Kita ada sikap rasional. Kita ada rasa toleransi.

Kasihan dramatis terkenal Normah Damanhuri terpaksa meminta maaf bagi pihak anaknya. Kasih sayang seorang ibu tiada tandingannya.
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video