HIBURAN
"Bukan Tak Nak Sambung Belajar, Tapi ..." - Ben Ladin
Penyanyi Ben Ladin menafikan dakwaan dia enggan sambung belajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Kata Ben atau nama sebenarnya Muhammad Benladen bin Munshi Shaihan, dia mengambil keputusan untuk 'berehat' seketika bagi memberikan fokus dalam kerjaya seninya.
"Bukannya saya tak nak sambung belajar tetapi saya nak memberikan fokus sepenuhnya dalam karier muzik saya.
"Kita tengok keadaan macam mana nanti, cuma sekarang itulah keputusan saya," kata Ben ketika ditemui pada EDMA 2018 di Galaxy Banquet Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Ben, dia juga teruja menantikan keputusan SPM yang akan diumumkan tidak lama lagi.
"Alhamdulillah peperiksaan SPM saya berjalan lancar dan tengah tunggu keputusan sekarang. Doakan yang baik-baik," katanya yang mengambil pendekatan 'homeschooling' sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Ben bakal muncul dengan single kedua selepas Hikayat Benladin pada Mac depan.