HIBURAN
Dapat Bekerjasama Dengan Hotel Terbaik Dunia, Fazley Yaakob Luah Rasa Syukur
Penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob meluahkan rasa bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan salah sebuah rangkaian hotel terbaik di dunia.
Pada bulan Ramadan yang menjelang tiba, Four Seasons Hotel Kuala Lumpur akan menampilkan selebriti undangan iaitu Fazley dan berkongsi juadah buka puasa di CurATE yang merupakan sebuah restoran berkonsep elegan dengan bantuan cef eksekutif hotel itu, Junious Dickerson diiringi oleh krew pasukannya.
“Sejujurnya, kerjasama ini ibarat peluang keemasan kepada saya kerana sudah lama memasang impian untuk menjalin usahasama dengan salah sebuah rangkaian hotel terbaik di dunia seperti Four Seasons. Ia ibarat pucuk dicita, ulam mendatang.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur serta berbangga. Pada masa yang sama, saya menggangap kerjasama ini sebagai amanah berat untuk dipikul kerana waktu sama, harus menjaga standard dan piawaian tinggi hotel yang sentiasa mahukan hasil terbaik demi kepuasan pelanggan mereka," katanya.
Menu istimewa Sajian Nusantara Fazley yang mengenengah aneka citarasa Malaysia, Thailand, Indonesia, Cina dan India itu disediakan pada setiap petang bermula 6 Mei hingga 4 Jun 2019.


Antara hidangan signatur yang disediakan oleh Fazley adalah Dulang Nusantara, Rendang Ayam & Daging Minang, Daging Salai Lemak Cili Api, Kari Kambing Rebung, Ikan Patin Masak Tempoyak, Soto Padang Nasi Impit Salai dan pemanis mulut seperti Bubur Pisang Salai, Kuih Bakar serta Tepung Pelita.
Untuk membuat tempahan atau mendapatkan informasi lebih lanjut, boleh menghubungi CurATE di talian 03-23828630.
