HIBURAN
Dari Jual Sticker Kereta, Kini BUSINESS TYCOON – Dato’ Ac Pernah Tinggal RM250 Saja Saat Isteri Kena Beranak Czer.
Dalam gelak tawanya di pentas dan kaca televisyen, tiada siapa yang tahu kisah getirnya menempuhi kehidupan sebelum ini. Dengan kejayaan yang diraikannya hari ini, mungkin ramai tidak menduga yang Dato' Ac pernah dirundung kepayahan hidup yang hanya dia dan isteri lalui dengan penuh sabar dan air mata.
Menerusi wawancara program Currhat, Episod 2 di Astro Prima, Isnin yang lalu, Dato’ Ac diundang sebagai salah seorang tetamu jemputan bersama dua panel profesional yang lain. Topik yang dibincangkan ialah perihal ‘hutang’. Menariknya, perkongsian Dato’ Ac bukan tentang beliau yang banyak berhutang, sebaliknya bagaimana beliau mengelakkan diri dan bisnesnya daripada menjadi ‘hamba hutang’.
Dari awal perbincangan hingga ke hujung rancangan, Dato’ Ac konsisten dengan pendiriannya bahawa hutang itu hanya lebih banyak membawa beban daripada manfaat jika diamalkan sebagai satu gaya hidup. Beliau sendiri mengakui tidak pernah berhutang untuk membina empayar perniagaannya (pengecualian kepada hal pembelian aset). Bagi beliau, apa yang kita miliki itulah yang kita usahakan.

Bermula Sebagai Penjual Car Sticker
Penulis sendiri baru tahu bahawa Dato’ Ac pernah dulu menjadi penjual pelekat kereta sahaja. Dan katanya, untuk beliau memiliki apa yang dimiliki hari ini bukan mudah. Ia tidak seperti sebuah angan-angan; daripada penjual pelekat terus mahu membuka bisnes hotel. Katanya, beliau belajar daripada kesusahan dan bangun perlahan-lahan.
Beliau tidak menafikan semua orang perlu untuk berhutang, namun jangan dijadikan amalan. Asal susah sedikit, mahu berhutang. Hutang itu tidak salah, yang salah adalah proses perhutangan yang dibuat oleh agensi persendirian seperti ‘Along’ yang mengambil kesempatan atas kesulitan hidup orang lain. Dato’ Ac sentiasa berpegang pada perumpamaan, ‘langit tidak selalunya cerah’.
Justeru dalam hidup ini kita harus selalu beringat. Jangan amalkan gaya hidup, ‘biar papa, asal bergaya’. Kita tidak tahu apa ujian mendatang andai tiba-tiba kita diduga dengan kesempitan yang tiada siapa mampu tolong, ke mana kita mahu mengadu? Maka, kerana itulah ramai yang terjerumus ke lembah hutang-piutang. Berhutang apabila benar-benar perlu sahaja dan mengikut kemampuan untuk membayar nanti.