HIBURAN

"Dosa Besar Kalau Saya Tak Buat Konsert di KL" - Tulus

Kamaruddin Razal 05/08/2019 | 14:11 MYT
Penyanyi popular Indonesia, Tulus menyifatkan sambutan mesra peminat di Malaysia sebagai pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik dalam karya muziknya.
Menampilkan persembahan magis di Konsert Tulus Sewindu Tour - Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, bibir jejaka kelahiran Bukittinggi, Padang ini tidak lekang mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang selama ini tidak jemu menyokong perjalanan muziknya.
"Alhamdulillah, semenjak kunjungan pertama saya di Malaysia tahun lalu untuk mengadakan konsert di Istana Budaya, saya rasa sangat senang dan terharu dengan penerimaan peminat di sini.
"Sokongan dan dorongan peminat membuatkan saya lebih bersemangat mahu memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan, lebih-lebih lagi dalam bidang muzik.
"Malam ini juga membuat saya sangat gembira kerana ramai yang hadir untuk menikmati muzik yang saya bawakan. Terima kasih seikhlasnya saya ucapkan kepada semua peminat," kata Tulus.
Meraikan ulang tahun kelapan pembabitannya dalam bidang muzik, Shiraz Projects membawa penyanyi tinggi lampai ini ke Kuala Lumpur untuk membuka jelajah Konsert Tulus Sewindu Tour.
"Sewindu adalah perkataan dalam Bahasa Indonesia yang membawa erti lapan tahun. Konsert malam ini menampilkan perjalanan naik turun saya dalam bidang muzik semenjak menceburkan diri.
"Insya-Allah, 28 September ini menandakan usia saya dalam bidang nyanyian genap lapan tahun. Jadi, saya memang ternanti-nanti untuk membawa siri jelajah Konsert Tulus Sewindu Tour di Kuala Lumpur.
"Masih saya ingat kehangatan dan kemesraan peminat yang menyokong konsert saya tahun lalu, jadi saya rasakan berdosa jika saya tak turun ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert.
"Kuala Lumpur merupakan pembuka panggung konsert ulang tahun kelapan. Insya-Allah, selepas di Malaysia, Konsert Tulus Sewindu Tour akan diteruskan di beberapa bandar di Indonesia," katanya lagi yang disaksikan lebih 2,500 penonton di Dewan Plenary.
Lagu popular yang dinyanyikan Tulus antaranya Gajah, Ruang Sendiri, Adu Rayu, Monokrom, Langit Abu-Abu, Tuan Nona Kesepian, Teman Hidup, Lagu Untuk Matahari, Pamit, Manusia Kuat dan Sewindu.
Tidak terkecuali, lagu seperti Baru, Jatuh Cinta, Tukar Jiwa, Cahaya, Teman Pesta, Kisah Sebentar, Labirin, Tergila-Gila, Sepatu, Larut Malam, Cinta Jangan Pergi, Tanggal Merah dan Jangan Cintai Aku Apa Adanya.
Antara artis tempatan yang menghadirkan diri untuk menikmati konsert ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nabila Huda, Sherry Alhadad, Datuk Fazley Yaakob, Imran Ajmain dan ramai lagi.
Foto: Instagram @miftahsalim
#Tulus