HIBURAN

Dua Tahun Lalu Suami, Hari Ini Anak Pula Dijemput -UJIAN HEBAT Buat Nora. Kalau Kita, Bagaimana? Allahu...

Afiza Kamarulzaman 14/12/2019 | 14:37 MYT
Sebentar tadi, kita dikejutkan dengan berita pemergiaan anak lelaki penyanyi Nora Ariffin iaitu Alif Johan, 20 yang meninggal dunia pagi tadi di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor. Nora yang membuat pengumuman itu menerusi akaun Instagram miliknya turut dalam penerbangan pulang dari urusan kerja di Singapura.
Jenazah akan menjalani proses bedah siasat pada esok hari dan urusan pengebumian dijangka disempurnakan sebaik selesai proses bedah siasat di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara; berdekatan kubur ayahanda arwah, Allahyarham Johan Nawawi. Setakat artikel ini ditulis, jenazah masih berada di hospital.
Belum Pun Kering Air Mata Lama…
Menerusi posting yang selalu dimuatnaik Nora di akaun Instagram miliknya selama dua tahun kebelakangan ini, mencerminkan betapa Nora masih belum mampu melupakan arwah suaminya yang pergi dijemput Illahi dua tahun yang lalu. Komposer terkenal itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
Nora dan Johan yang sangat dikenali sebagai pasangan sejoli ini amat menyentuh hati ramai peminat apabila Nora sering kali berkongsi kerinduannya di laman sosial itu. Menurut Nora, dia tidak berniat untuk meraih simpati sesiapa tetapi hanya dengan cara itu dia merakamkan rasa rindu dan ingatan itu buat arwah suaminya.
Selain doa yang tidak pernah putus diutuskan buat suami tersayang. Menerusi setiap kemaskininya itu, penulis dapat rasakan betapa sakitnya rindu yang ditanggung Nora selama ketiadaan Johan di sisi. Malah, turut dilihat juga, sesekali Nora mengeluh betapa beratnya tanggungjawab yang terpaksa digalasnya sebagai ibu dan bapa buat anak-anaknya kini.
Allahu… Sebagai isteri, siapa yang mahu berpisah mati dengan suami? Apatah lagi suami itu orangnya soleh, baik, bertanggungjawab, penyayang dan sentiasa menjadi dahan untuk isteri dan anak-anak berpaut. Siapa mampu menerima takdir ini dengan begitu mudah jika tidak dilalui dengan air mata berlimpahan terlebih dulu?
#Nora #Kehilangan #Alif Johan