HIBURAN

"Empat Bulan Duduk Rumah Tak Ada Job Disebabkan..." - Nabil Ahmad

Asraf Aided 24/09/2019 | 06:27 MYT
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad kini aktif menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas tidak mendapat sebarang tawaran kerja selama empat bulan pada awal tahun ini.
Menurut Nabil, ketika itu, dia hanya bergantung pada pendapatan kerjanya sebagai hos program MeleTOP dan penyampai radio Era.
"Banyak job yang saya dah lock tahun lepas dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Kerajaan kita sudah bertukar, kebanyakan tawaran kerja yang saya terima melibatkan kerajaan lama.
"Oleh sebab itu, saya tidak menerima tawaran kerja lain selama empat bulan dan hanya bergantung kepada bayaran sebagai hos MeleTOP dan penyampai radio Era sahaja," ujarnya.
Nabil berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran LUPK, LUPKTV dan single terbarunya bertajuk LUPK di Vaporboy, Kajang petang semalam.
Masalah yang dihadapi itu menyebabkan Nabil ingin menceburi bidang perniagaan vape yang mendapat sambutan dari generasi muda masa kini.
Walaubagaimanapun, Nabil menegaskan dia tidak mahu mempengaruhi golongan kanak-kanak di bawah umur untuk membeli atau mencuba vape.
"Sebelum ini, pendapatan saya memang bergantung pada kegiatan seni sahaja, Alhamdulillah karier saya kini sudah berjalan seperti biasa.
"Oleh sebab itu saya cari jalan untuk melabur duit, memandangkan vape kini menjadi trend, saya ambil peluang untuk berniaga.
"Fokus saya hanya untuk mereka yang sudah menjadi pengguna, bukan untuk mempengaruhi sesiapa mahupun golongan di bawah umur," tambahnya.
#Nabil Ahmad #Pelawak #Hos #LUPK