Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

"Fasha Sandha Sanggup Nak Menolong Membersihkan Najis Ibu.." - Roslan Shah

Kamaruddin Razal 01/12/2019 | 18:12 MYT
Pelakon dan penyanyi Roslan Shah memuji sifat dan keperibadian aktres Fasha Sandha.
Menerusi salah sebuah entri di laman Instagram miliknya, Roslan mendedahkan Fasha dengan ikhlas hati menawarkan diri untuk membantu mencuci najis ibu Roslan, Mariam Kari yang kini sedang sakit.
"Salam semuanya. Wanita yang bernama Fasha Sandha sebagai seorang artis pelakon terkenal / popular ada yang tidak ramai yang tahu sifat hatinya dan caranya ini bukan REKAAN cerita ya.
"Allah saja yang tahu dan ini bukan untuk memuji caranya kerana datang ke rumah Cik Lan. Ini di depan mata Cik Lan sendiri yang melihatnya.
"Rasa terharu pun ada semasa Fasha datang ke rumah Cik Lan Sabtu petang bersama suami tercintanya, Aidil Aziz untuk menziarahi ibu tercinta Cik Lan ya..
"Semasa di bilik ibu tercinta Cik Lan membuang najis (membuang air besar). Apabila Fasha tahu ibu Cik Lan membuang air besar (berak), Fasha dengan ikhlas hatinya masuk ke bilik ibu Cik Lan dan dengan rela hatinya nak membantu / menolong Cik Lan membasuh dan tukarkan pampers ibu tercinta Cik Lan," tulis Roslan.
Tambah penyanyi lagu Ek Eleh You Siapa ini, dia tersentuh dan sebak dengan keikhlasan hati Fasha.
"Dari situ Cik Lan tersentuh dan sebak dalam hati tetapi Cik Lan diamkan diri saja... Fasha bukan ahli keluarga Cik Lan, Fasha sanggup nak menolong membersihkan najis ibu tercinta Cik Lan.
"Cik Lan menghalangnya kerana Fasha adalah tetamu. Cik Lan serta kakak tercinta Cik Lan uruskan ibu tercinta untuk membersihkan dan tukarkan pampers sendiri.
"Dari situ seorang wanita yang bernama Fasha Sandha dari situ Cik Lan boleh lihat mulianya hati Fasha sebenarnya," tulisnya lagi.
Tambah Roslan, tujuan dia mendedahkan perkara terbabit bukanlah untuk membodek atau memberikan pujian melambung.
"Ini bukan membodek / memuji melambung bagi Cik Lan inilah wanita susah kita nak mencari.
"Tak ramai yang boleh buat. Kali pertama di depan mata Cik Lan seorang artis popular yang sangat merendah diri.
"Tadi sambil menulis Cik Lan dah sebak serta menitis air mata lagi. Terima kasih ya @fashasandha dan suami tercintanya @itsaidilaziz," tambahnya.
Di ruangan komen, rata-rata peminat Roslan memuji keikhlasan Fasha dan turut mendoakan agar ibu Roslan segera sembuh.
#Fasha Sandha #Roslan Shah