HIBURAN

Hanya Untuk Persembahan, Penyanyi Dangdut Ini Simpan 1,000 Koleksi Rambut Palsu... Wow!

Zulaikha Yusof 25/04/2019 | 04:53 MYT
Penyanyi dangdut Indonesia, Jenita Janet mendedahkan mempunyai hampir 1,000 koleksi rambut palsu yang terdiri daripada pelbagai warna dan model.
Menurut Janet, rambut palsu itu hanya dipakai semasa persembahan sebagai aksesori.
"Di Indonesia saya merupakan seorang pengumpul rambut palsu.
"Saya mempunyai hampir 1,000 koleksi rambut palsu dan dalam 500 itu yang ditempah khas oleh saya sendiri.
"Saya mempunyai pelbagai warna serta model yang dibeli di Kanada, Amerika Syarikat dan China.
"Koleksi rambut yang paling mahal pernah saya beli adalah berharga RM4,687.
"Saya hanya memakai rambut palsu sebagai aksesori ketika membuat persembahan. Kalau untuk aktiviti harian, saya lebih selesa dengan rambut asal.
"Oleh sebab mempunyai terlampau banyak koleksi rambut palsu, saya sendiri tidak tahu di mana harus menyimpannya," katanya kepada Gempak.
Janet ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharu berjudul Mau, duet bersama kumpulan Estranged di Drum Asia Studio, Kota Damansara semalam.
Tambah Janet, dia memilih untuk mencuci sendiri rambut palsu di rumah daripada menghantarnya ke salon.
"Masa awal saya membuat keputusan untuk memakai rambut palsu, susah untuk jumpa salon yang menyediakan servis mencuci rambut palsu.
"Orang lebih memilih untuk mewarnakan rambut daripada memakai rambut palsu.
"Selepas tiga kali memakai rambut itu, ia harus dicuci dan saya memilih untuk mencucinya sendiri di rumah.
"Untuk mencucinya pulak tidak boleh menggunakan shampo kerana bukan rambut asli," katanya lagi.
#Penyanyi Dangdut #Jenita Janet