HIBURAN
Hidup Manusia Kerana Muafakat - Ini Empat Sebab Kenapa Anda Wajib Tonton Filem Bumi Itu Bulat!
Filem 'Bumi Itu Bulat' (BIB) merupakan sebuah naskhah terbaru gabungan Astro Shaw bersama Inspiration Picture dan telah berada di pawagam tempatan terpilih bermula hari ini.
Filem berdurasi satu jam 45 minit ini mengetengahkan isu kekeluargaan dan persabahatan yang mampu menarik penonton Malaysia untuk ke pawagam.
Menampilkan genre romantik komedi remaja, ini empat sebab kenapa anda wajib menonton filem BIB.

-
Jalan cerita
Bertunjangkan kesepakatan dan sifat toleransi sesama agama serta manusia, ia sewajarnya mendapat perhatian kerana temanya bersifat universal dan relevan dengan keadaan dunia masa kini.
Ada beberapa babak ketika Sukan Asia 2018 di Indonesia ditonjolkan dalam filem ini, cukup membuatkan bulu roma meremang. Dengan adanya cita-cita, kerjasama dan usaha, pasti impian akan berhasil menjadi kenyataan.
-
Barisan pelakon baru
Ditambah dengan 'chemistry' pelakon muda berbakat besar seperti Rayn Wijaya, Rania Putrisari, Qausar Harta, Kenny Austin, Aldy Rialdi dan Febby Rastanty, mereka ini menjadikan filem ini muda dan ringan untuk difahami.
-
Bertemakan kekeluargaan dan persahabatan
Mengetengahkan banyak nilai murni, itu antara penyebab mengapa filem ini perlu ditonton. Bagaimana agama itu antara punca pergaduhan dan akhirnya mendamaikan juga diolah dengan cukup baik bagi menyedarkan ramai pihak.
-
Kerjasama Malaysia dan Indonesia
Filem ini mendapat sentuhan pengarah berbakat Indonesia, Ron Widodo dan cerita asalnya oleh Robert Ronny. Robert Ronny sebelum ini terkenal dengan hasil karyanya menerusi filem Kartini dan Kapan Kawin.

Sinopsis:
BIB mengisahkan anak muda bernama Rahibi, Markus, Syahid dan Tiara yang menubuhkan kumpulan bernama Rujak Acapella. Mereka menerima satu tawaran kontrak rakaman album tetapi dengan syarat, Aishia harus menjadi sebahagian kumpulan Rujak Acapella.
Demi impian, Rahibi sanggup lakukan apa sahaja asalkan Aishia bersetuju menyertai mereka.
Jangan lepaskan peluang menonton filem ini secara limited release bermula hari ini.