HIBURAN

"Keguguran Berlaku Bukan Salah Ibu Bapa" - Nabila Huda

Zulaikha Yusof 18/04/2019 | 04:56 MYT
Aktres popular, Nabila Huda mengakui anak perempuannya, Keisha Laila sedih apabila mengetahui mengenai berita keguguran.

Namun begitu, Nabila atau lebih mesra disapa Abil menyatakan Keisha perlu menikmati kehidupan sebagai anak tunggal selagi belum mempunyai adik.

"Saya bagi tahu Keisha, sebenarnya kita dah tak ada bayi. Keisha buat muka sedih sambil cakap dia teruja apabila mengetahui dia akan mempunyai seorang adik.

"Saya cakap, janganlah sedih, sekarang ini masa untuk bersuka ria sebagai anak tunggal.

"Nanti dah ada adik, saya tidak boleh fokus untuk Keisha seorang sahaja," katanya kepada Gempak.

Abil ditemui ketika sidang media Kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima 2019 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya semalam.

Tambah pelakon filem Munafik ini, dia juga menerangkan punca keguguran berlaku kepada Keisha.

"Ketika sedang mengandung, saya sudah terangkan kepada Keisha yang kita tidak boleh terlampau teruja.

"Saya seorang yang suka terangkan kepada Keisha perkara logik memandangkan dia sudah mampu untuk berfikir sendiri.

"Kadang-kadang, kehamilan itu menjadi, kadang-kadang juga akan berlaku keguguran.

"Saya cakap dengan Keisha keguguran berlaku bukan disebabkan kesalahan ibu atau bapa. Keguguran itu terjadi hanya disebabkan tidak bernasib baik.

"Jangan dengar orang lain cakap keguguran berlaku disebabkan cara hidup ibu bapa ataupun tidak menjaga dari segi pemakanan.

"Saya pesan kepada Keisha untuk hiraukan dengan orang yang berfikiran seperti itu.

"Sebenarnya, semua itu terjadi disebabkan Allah lebih tahu.... Sama ada mungkin tidak sempurna anggota badannya ataupun ibu bapa tidak layak untuk menjaga anak itu.

"Kita hanya perlu bersyukur. Buat masa sekarang, kuatkan diri untuk hadapi keguguran yang telah berlaku," katanya lagi.
#Nabila Huda