HIBURAN

“Kesihatan Saya Tidak 100 Peratus Baik Tapi...” - Zamani Masih Jalani Rawatan Chiropractic?

Hanafis Haris 09/10/2020 | 00:43 MYT

Penyanyi utama kumpulan Slam, Zamani Ibrahim yakin mampu menggegarkan pentas pada konsert yang berlangsung awal tahun depan biarpun tahap kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Menurut Zamani, dia dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk kembali beraksi di pentas selepas kali terakhir mengadakan konsert pada tiga tahun lalu.

“Untuk persediaan kami akan mengadakan sesi latihan bagi mendapatkan kembali rentak. Ye lah dah lama berehat sepanang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun tahap kesihatan saya tidak berada dalam keadaan 100 peratus baik, namun ia memang tak ganggu pun persiapan saya untuk konsert ini.

“Saya tidak merasakan masalah sakit tulang belakang ini akan mengganggu prestasi saya sebab sekarang pun saya masih lagi jalani rawatan chiropractic.

“Saya cuba pastikan pada malam konsert itu nanti kesihatan saya berada dalam tahap paling baik,” katanya.

Tambah Zamani, dia berharap peminat akan menyokong konsert berkenaan biarpun terpaksa mematuhi SOP.

“Kami harap dapat kembalikan semula kegemilangan Slam dengan membawakan seleksi lagu-lagu hits yang pernah mengangkat nama kumpulan ini suatu masa dahulu,” katanya.

Zamani berata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.

Memilih Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai lokasi, konsert tersebut dijangka berlangsung pada 17 Januari 2021.

Untuk makluman, Konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RMM700, RM360, RM260, RM200, RM160 dan RM130. Untuk keterangan lanjut boleh layari www.myticket.asia.

#Konsert #Slam #Konsert #Zamani