HIBURAN
Mahu Anak-Anak ‘Enjoy’ Cuti Sekolah Ini? Bawalah Ke Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends!
Bermula cuti penggal persekolah pada Ogos ini, siri animasi kanak-kanak popular, ‘Didi & Friends’ bakal mengadakan ‘Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends’, di Quill Convention Center, Kuala Lumpur.
Konsert berdurasi 65 minit itu akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula dari 15 sehingga 18 Ogos 2019, bersempena dengan cuti persekolahan yang akan bermula pada 10 Ogos ini.
Diangkat sebagai sebuah fenomena hebat di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru, 'Didi & Friends' adalah produksi bersama Digital Durian dan Astro, dengan lebih daripada 2 juta pengikut dan 1.5 bilion tontonan di YouTube.
‘Didi & Friends’ berjaya memenangi hati peminat menerusi lagu-lagu menarik dan watak-watak comel yang begitu disayangi ramai seperti, ‘Didi’, ‘Nana’, ‘Jojo, ‘Pak Atan’, ‘Bingo’ dan banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail, berkata, misi konsert diadakan adalah untuk membuat anak-anak gembira.
“Kita mahu mencipta momen keluarga yang penuh kasih sayang dan bahagia untuk ibu bapa, terutama sekali untuk anak-anak.
“Harapan besar kami adalah untuk mencipta momen yang akan diingati oleh semua peminat cilik kami dan juga dapat menguatkan ikatan kasih dan sayang antara ibu bapa dan anak, seterusnya menjadikan pengalaman ini tidak dapat dilupakan.

*Sinan (tengah) ketika majlis sidang media*
Tambah Sinan lagi, lebih menarik bersempena penganjuran Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends ialah, Digital Durian akan meraikan 9 keluarga pemenang bertuah dengan membawa maskot ‘Didi & Friends’ sebagai kejutan pada sambutan hari kelahiran anak-anak.
“Kami berjanji untuk memberikan yang terbaik, kerana kami mempunyai peminat yang terbaik. Ini mungkin konsert pertama kami…tetapi kami percaya ia akan menjadi satu sejarah buat kami dan para peminat,” ujarnya.

Izzue Islam telah dipilih sebagai selebriti jemputan utama untuk konsert ini dan akan turut membuat persembahan semasa konsert serta menari ‘The Lala Dance’ bersama peminat yang hadir.
Antara personaliti popular lain yang akan turut serta membuat persembahan bersama Didi & Friends ialah kumpulan ‘b-boy’ terkenal tanah air, iaitu Wakaka Crew yang diterajui oleh Alam.
Animasi kartun Islamik, ‘Omar & Hana’ akan turut membuat penampilan istimewa di konsert ini.
Dalam pada itu, penari-penari berpengalaman dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) juga akan membuat persembahan pada hari konsert.
Pembelian tiket boleh dilakukan di www.DidiLive2019.com dan untuk maklumat lanjut berkenaan harga dan pakej tiket, informasi konsert, sila ikuti platform media sosial rasmi Didi & Friends atau emel ke didiandfriends@digitaldurian.tv.